Jumaat, 27 November 2020 | 7:12pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. Gambar fail/NSTP
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. Gambar fail/NSTP

Tembakan di sempadan: Thailand sedia kerjasama dengan Malaysia

GEORGETOWN: Thailand bersedia bekerjasama dengan Malaysia bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan kedua-dua negara, susulan insiden berbalas tembakan, baru-baru ini.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata isu berkenaan akan diperhalusi lebih lanjut menerusi Jawatankuasa Sempadan Wilayah Thailand-Malaysia (RBC).

"Thailand menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia ke arah memperketatkan kawasan keselamatan di kawasan sempadan, berikutan kejadian berbalas tembakan baru-baru ini.

"Kedua-dua negara meneliti usaha meningkatkan kekerapan rondaan dan menubuhkan pusat kawalan di lokasi strategik, bagi memerangi kegiatan penyeludupan serta aktiviti haram lain, termasuk perkongsian maklumat," katanya ketika dihubungi NST, hari ini.

Selasa lalu, negara digemparkan dengan insiden berbalas tembakan antara sekumpulan penyeludup dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari parah berikutan tiga das tembakan pada kanan perut serta rusuk belakang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata insiden berkenaan ialah kali ketiga bulan ini, dengan kejadian pertama, pada 12 November dan kedua, 15 November lalu.

Insiden kali keempat, pada jam 6.15 petang, kelmarin pula membabitkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam, sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.

Ditanya sama ada polis Thailand sedang mengendalikan siasatan tersendiri, Jojie berkata pihak berkuasa negara Gajah Putih itu sudah mengenal pasti suspek terbabit dalam insiden berkenaan.

"Mengikut kata mereka, lebih banyak tangkapan akan dibuat kelak bagi membantu siasatan," katanya.

Berhubung insiden Selasa lalu, Jojie berkata empat suspek kini ditahan pihak berkuasa Thailand bagi tujuan siasatan lanjut.

"Perbincangan antara pihak berkuasa Malaysia-Thailand masih diteruskan mengenai kemungkinan membawa suspek ke Malaysia," katanya.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid, semalam dilaporkan berkata, pihak berkuasa Thailand sedang mempertimbangkan penyerahan empat suspek ditahan di negara itu berhubung kes serangan ke atas anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand.

Thailand setakat ini, bersedia berbuat demikian susulan permintaan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X