Khamis, 26 November 2020 | 6:23pm

Moratorium: Hanya perlu hubungi bank, buat pilihan

KUALA LUMPUR: Golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan peniaga kecil atau mikro hanya perlu menghubungi bank bagi menentukan pilihan bantuan kewangan bersasar.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di laman Facebook menjelaskan, penerima BSH/BPR dan peniaga kecil/mikro perlu memilih sama ada moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

"Peminjam yang layak terdiri daripada pinjaman yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan mereka yang tidak mempunyai tunggakan ansuran melebihi tiga bulan.

"Hubungi pihak bank dan nyatakan pilihan anda pada bila-bila masa mulai 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021 dan kelulusan diberikan secara automatik," katanya.

Bagi golongan M40 pula, bank pusat berkata, mereka perlu membuat pengisytiharan kendiri (self-declaration) bagi mengurangkan ansuran bulanan dengan kelulusan juga diberi secara automatik.

"Bagi penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), mereka perlu membuat pengisytiharan kendiri. Bank akan mengambil kira pendapatan individu dan pasangan.

"Tempoh pemprosesan bank adalah lima hari dan kelulusannya juga automatik," katanya.

Pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan rakyat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul tengku Abdul Aziz, berkata moratorium pinjaman bank bukan hanya untuk sebilangan kecil rakyat. sebaliknya tersedia untuk semua rakyat Malaysia yang terkesan tidak kira sama ada daripada golongan B40, M40 atau

T20.

"Semuanya layak mendapat bantuan dalam bentuk penangguhan, pengurangan atau penjadualan semula pinjaman," katanya.

Tengku Zafrul berkata, golongan B40 dan peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik, manakala M40 pula hanya perlu buat self-declaration atau pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen dan sebagainya.

"Bagi rakyat yang tidak tergolong dalam segmen di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing.

"Prinsip utama di sini adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah adil mereka yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium?.

"Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat? Inilah antara sebabnya mereka yang mampu, wajar membayar balik pinjaman mereka," katanya.

Malaysia menjadi negara pertama di dunia di mana institusi perbankannya telah memberikan moratorium automatik kepada semua peminjam bank dengan nilai dianggarkan hampir RM100 bilion untuk tempoh enam bulan.

Selepas tamatnya moratorium automatik, BNM bersama institusi perbankan telah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober 2020.

"Lebih 700,000 permohonan telah diterima, dan daripada jumlah itu, 98 peratus peminjam telah menerima bantuan moratorium," tambah Tengku Zafrul.

Berita Harian X