X
Khamis, 26 November 2020 | 5:13pm
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto fail BERNAMA
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto fail BERNAMA

Kes serangan anggota PGA: Polis Thailand pertimbang serah suspek untuk diadili di Malaysia

GEORGETOWN: Pihak berkuasa Thailand mempertimbangkan untuk menyerahkan empat suspek yang ditahan di negara itu berhubung kes serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Selasa lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid, berkata beliau dimaklumkan bahawa polis Thailand sedang mempertimbangkan perkara itu seperti yang diminta polis Malaysia.

Beliau berkata, jumlah yang ditahan pihak berkuasa Thailand kekal empat orang.

"Mereka yang ditahan termasuk tiga yang masih dirawat di hospital, dan seorang lagi pemandu yang menghantar tiga suspek ke hospital.

"Sehingga kini, jumlah yang ditahan pihak berkuasa Thailand adalah empat orang. Polis Thailand masih menyiasat kes itu.

"Mereka juga mempertimbangkan permintaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyerahkan mereka yang ditahan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya kepada New Straits Times hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada Polis Diraja Thailand supaya empat penyeludup yang ditahan di Thailand dapat diserahkan untuk diadili di negara ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi kelmarin, dua anggota Batalion 3 PGA dilapor melakukan serbuan ke atas 13 penyeludup yang cuba menyeludup sejumlah ketum dan ubat batuk di Pos 9 sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Sarjan Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Kedua-dua mereka adalah daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, anggota pasukan PGA yang bertugas dalam Ops Benteng.

Malam tadi, Norihan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang di sini dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis .

Sementara itu, ditanya mengenai kes anggota PGA ditembak petang semalam ketika melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Bukit Kayu Hitam, Muhammad Ridzuan Abu Yazid memberitahu, masih belum ada perkembangan baharu mengenai kejadian itu.

"Saya sedang memantau kes berkenaan," katanya.

Semalam, seorang lagi anggota Batalion 3 PGA dilaporkan cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terkena tembakan.

Berita Harian X