Khamis, 26 November 2020 | 4:36pm

Penyakit jantung iskemik kekal pembunuh nombor satu di Malaysia

PUTRAJAYA: Penyakit jantung iskemik kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia, merekodkan 16,325 kematian atau 15.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2019, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Jumlah itu merangkumi 11,330 atau 69.4 peratus kematian lelaki dan 4,995 atau 31.6 peratus wanita.

"Penyakit jantung iskemik adalah penyebab utama kematian bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Bumiputera membabitkan 14.5 peratus, Cina (14 peratus) dan India (20.4 peratus)," katanya dalam kenyataan bersempena Laporan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2020, hari ini.

Laporan itu menyatakan statistik penyebab kematian di Malaysia bagi 2019 berdasarkan ciri demografi peringkat kebangsaan, negeri dan pentadbiran daerah.

Statistik berkenaan digunakan sebagai input untuk penggubalan dasar dan perancangan program yang berkaitan dengan bidang kesihatan serta sumber rujukan yang bermanfaat kepada penyelidik dan akademik.

Di peringkat global, Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemik juga dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian di negara maju seperti Amerika Syarikat yang mencatatkan 23.1 peratus dan Australia (11.1 peratus).

"Gaya hidup dan diet yang tidak sihat adalah antara faktor penyebab kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung iskemik hari ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata penyakit pneumonia dikenal pasti sebagai penyebab kematian kedua tertinggi pada 12.2 peratus, diikuti penyakit berkaitan angin ahmar (8 peratus), kemalangan jalan raya (3.8 peratus) dan malignant neoplasm (ketumbuhan dengan kanser) pada trakea, bronkus dan paru-paru (2.4 peratus).

Penyakit jantung iskemik adalah penyebab utama kematian di 78 daripada 160 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di Sik, Kedah iaitu 27.1 peratus, katanya.

Beliau berkata pneumonia pula penyebab utama kematian di 51 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Kota Setar, juga di Kedah dengan 19.5 peratus.

Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata sebanyak 173,746 kematian direkodkan pada 2019 dengan 109,164 atau 62.8 peratus adalah kematian yang disahkan secara perubatan, manakala 64,582 atau 37.2 peratus kematian yang tidak disahkan secara perubatan. – BERNAMA

Berita Harian X