Khamis, 26 November 2020 | 2:21pm
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Anggota PGA lihat kelibat lelaki di sempadan ketika tembakan dilepaskan

ALOR SETAR: Anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera ringan akibat terkena tembakan berhampiran Pos M16 petang semalam sempat melihat kelibat seorang lelaki yang berpakaian gelap di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand sebelum meminta bantuan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata ketika kejadian jam 6.15 petang itu, anggota berusia 26 tahun itu sedang melakukan rondaan seorang diri dari Perlis menuju ke Pos M16 dengan menunggang motosikal menerusi Ops Wawasan Kedah/Perlis.

Beliau berkata, ketika melalui lokasi kejadian, anggota PGA terbabit terasa ada serpihan bebola dipercayai peluru terkena di bahagian bawah perutnya.

"Anggota terbabit ketika itu memakai baju kalis peluru namun disebabkan saiz badannya yang berisi, serpihan peluru itu terkena bawah perutnya.

"Dia mengalami cedera ringan dan ketika itu dia terus mendapatkan bantuan dari Pos M16 untuk memaklumkan mengenai kejadian itu namun sebaik kembali semula di lokasi, didapati lelaki berkenaan sudah tiada," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam jam 8 malam tadi.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kita tidak menolak berkemungkinan lelaki yang melepaskan tembakan jenis senapang angin itu ada kaitan dengan penyeludup dari negara jiran.

"Namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu," katanya.

Kejadian semalam adalah kali kedua membabitkan serangan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota PGA selepas dua anggota PGA diserang di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, kelmarin.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Berita Harian X