Khamis, 26 November 2020 | 12:22am
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA

Kenderaan perisai PDRM antara dikerah ke sempadan - KPN

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengerahkan pasukan operasi daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta kenderaan perisai tambahan ke sempadan Malaysia-Thailand, susulan serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata serangan itu tidak melunturkan semangat pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan berkenaan.

"Selain Unit Komando 69, kita juga mengerahkan tim operasi dari JSJ dan JSJN ke kawasan sempadan untuk memastikan sebarang pergerakan oleh kumpulan penyeludup ini dapat dipatahkan.

"Hasil tindakan pantas kita membuahkan hasil susulan kejayaan Polis Kedah yang berjaya merampas lebih 100 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM10 juta petang tadi," katanya kepada BH.

Abdul Hamid berkata beliau amat berbangga dengan semangat juang ditunjukkan pegawai dan anggota Batalion 3, Senoi Praaq, meskipun wujud serangan daripada kumpulan penyeludup.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam petang tadi adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden membabitkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa lalu.

Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.

Kejadian jam 6.15 petang tadi pula membabitkan seorang anggota yang sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.

Berita Harian X