Rabu, 25 November 2020 | 11:02pm
Malaysia kutuk serangan peluru berpandu di loji minyak Aramco di Arab Saudi. FOTO NSTP
Malaysia kutuk serangan peluru berpandu di loji minyak Aramco di Arab Saudi. FOTO NSTP

Malaysia kutuk serangan di loji minyak Aramco

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu yang mensasarkan loji kemudahan minyak Saudi Aramco di Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu.

Kementerian Luar berkata, Malaysia menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan Arab Saudi menentang sebarang ancaman atau serangan, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan keamanan serta kestabilan di rantau itu.

"Malaysia menggesa semua pihak berhati-hati dan mengelak sebarang tindakan provokasi. Malaysia juga meminta konflik di Yaman diselesaikan secara damai menerusi rundingan dan dialog," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Media antarabangsa melaporkan pemberontak Houthi melancarkan roket yang mensasarkan stesen pengedaran minyak di Arab Saudi.

Kemudahan itu terletak di sebelah tenggara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, lapangan terbang utama yang mengendalikan perjalanan umat Islam ke Makkah untuk menunaikan ibadat umrah dan haji. - BERNAMA

Berita Harian X