Rabu, 25 November 2020 | 3:25pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri mendiang Baharuddin, Relow Ko, 48, (dua dari kiri) di Tanah Perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sompo, Jempol, Negeri Sembilan. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri mendiang Baharuddin, Relow Ko, 48, (dua dari kiri) di Tanah Perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sompo, Jempol, Negeri Sembilan. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Kes serang anggota PGA: Dua lagi suspek warga Thailand ditahan

JEMPOL: Dua lagi rakyat Thailand ditahan di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, pagi tadi untuk siasatan kes serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menyebabkan seorang anggota pasukan itu maut dan seorang lagi cedera, kelmarin.

Perkembangan itu menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes berkenaan setakat ini, lapan orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata dua warga Thailand itu ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi, dipercayai tidak sempat melarikan diri.

Katanya, daripada semua lapan suspek berkenaan, empat ditahan di Malaysia, manakala empat lagi di negara jiran.

"Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat 'sweeping' di ladang dan belukar (sekitar tempat kejadian), terserempak dengan dua orang ini.

"Kami bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada Polis Diraja Thailand supaya empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand dapat diserahkan kepada kami untuk diadili," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi semalam dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Abdul Hamid berkata, polis juga sedang berusaha mengesan senjata yang diguna suspek yang dipercayai dicampak di kawasan belukar berhampiran lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi kelmarin, dua anggota Batalion 3 PGA dilapor melakukan serbuan ke atas 13 penyeludup yang cuba menyeludup sejumlah ketum dan ubat batuk di Pos 9 sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun, seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Hari ini, mendiang Baharuddin dan Norihan dinaikkan pangkat sebagai Sarjan, berkuat kuasa serta merta.

Berita Harian X