Rabu, 25 November 2020 | 1:16pm
Anggota APM Melaka membantu membersihkan rumah penduduk di Ayer Molek yang dilanda banjir, semalam. - Foto NSTP/Amir Mamat
Anggota APM Melaka membantu membersihkan rumah penduduk di Ayer Molek yang dilanda banjir, semalam. - Foto NSTP/Amir Mamat

Banjir: 3 pusat pemindahan masih dibuka di Melaka

MELAKA: Seramai 192 mangsa dari daerah Jasin dan Alor Gajah masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 12 tengah hari tadi susulan cuaca baik sejak malam tadi.

Bagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantung, Sungai Rambai menempatkan 65 mangsa daripada 16 keluarga, diikuti PPS SK Tehel (121 mangsa, 29 keluarga) manakala PPS SK Durian Tunggal (enam mangsa daripada satu keluarga).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata keadaan air yang masih tinggi menyebabkan mangsa banjir dari Kampung Tehel dan Kampung Parit Penghulu Benteng tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Situasi sama turut terjadi di Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulai dan Kampung Belimbing dalam daerah Alor Gajah.

"Dengan keadaan cuaca yang baik sejak malam tadi dan tengah hari ini, saya yakin situasi banjir akan pulih sedikit masa lagi," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

 Anggota APM Melaka membantu membersihkan rumah penduduk di Ayer Molek yang dilanda banjir, semalam. - Foto NSTP/Amir Mamat
Anggota APM Melaka membantu membersihkan rumah penduduk di Ayer Molek yang dilanda banjir, semalam. - Foto NSTP/Amir Mamat

Sementara itu, sekumpulan anggota APM turun padang membantu membersihkan beberapa kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, petang semalam.

Aktiviti amal itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman, beberapa pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.

Berita Harian X