Rabu, 25 November 2020 | 1:09pm
Kes kluster baharu COVID-19 di negeri Johor yang dilaporkan kebanyakan berkait rapat dengan majlis sosial seperti kenduri, perjumpaan beramai-ramai selain majlis di rumah ibadah.- Foto fail NSTP
Kes kluster baharu COVID-19 di negeri Johor yang dilaporkan kebanyakan berkait rapat dengan majlis sosial seperti kenduri, perjumpaan beramai-ramai selain majlis di rumah ibadah.- Foto fail NSTP

Peningkatan kluster di Johor akibat tak patuh SOP

JOHOR BAHRU: Penyumbang utama kejadian kluster baharu COVID-19 di negeri ini dilaporkan kebelakangan ini, dikesan akibat sikap segelintir masyarakat yang mula tidak peka terhadap keperluan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata pematuhan terhadap SOP terutama pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan membasuh tangan dengan kerap atau menggunakan cecair basmi kuman adalah langkah yang perlu sentiasa diamalkan dalam memutuskan rantaian wabak berkenaan.

"Kebanyakan kes kluster baharu COVID-19 yang dilaporkan berkait rapat dengan majlis sosial seperti kenduri, perjumpaan beramai-ramai selain majlis di rumah ibadah.

"Pada masa situasi COVID-19 masih lagi membimbangkan, masyarakat dinasihatkan untuk kurangkan aktiviti sosial yang tidak mematuhi SOP supaya ia dapat mengurangkan risiko penularan dalam kalangan keluarga dan kenalan.

"Kerajaan Johor sangat berharap masyarakat di negeri ini sentiasa mematuhi SOP majlis sosial yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Masyarakat tidak lagi mengelakkan 3 S, iaitu mengelakkan pergaulan di kawasan SEMPIT, mengelakkan keadaan SESAK dan mengelakkan SEMBANG RAPAT, dan ini menyebabkan risiko penularan wabak semakin tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, masyarakat perlu sentiasa amalkan 3 W (Wash, Wear, Warn) iaitu kerap membasuh atau sanitasi tangan, memakai pelitup muka dengan cara yang betul dan sentiasa ingat mengingati sesama kita mengenai sentiasa mematuhi SOP.

"Selain itu, pastikan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri sentiasa diamalkan. Ketidakpatuhan adalah melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988

(Akta 342) dan boleh dikenakan denda RM1,000," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, terdapat 19 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini, semalam.

"Ia membabitkan lima kes daripada kluster sedia ada, sembilan kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan lima kes daripada saringan.

"Kluster aktif di Johor sehingga semalam adalah kekal sebanyak sepuluh iaitu Kluster Kobena

(mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh), Kluster Parit Kassan (mukim Grisek); Kluster Jeri (mukim Sedili Besar), Kluster Meldrum (mukim Kota Tinggi), Kluster Bayu (mukim Bandar), Kluster Kempas (mukim Tebrau) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sungai Johor).

Berita Harian X