Selasa, 24 November 2020 | 9:19pm

Mangsa banjir di Terengganu terus bertambah

KUALA NERUS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 352 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS), sehingga jam 7 malam ini.

Ketua Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata sebanyak 15 PPS dibuka secara berperingkat sejak malam tadi di enam daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Marang dan Dungun.

Beliau berkata, daerah Marang dan Besut menjadi daerah terbaru dilanda bencana itu dengan seramai 23 mangsa daripada empat keluarga di daerah Marang mula dipindahkan kira-kira jam 4 petang tadi.

"Semua mangsa ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang.

"Di Besut pula, seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Kampung Baharu, Kuala Besut," katanya di sini, hari ini.

Che Adam berkata, Kuala Nerus terus merekodkan jumlah tertinggi apabila seramai 134 mangsa daripada 29 keluarga masih ditempatkan di PPS di SK Tok Jembal dan Balairaya Alor Damat.

Katanya, empat lagi PPS dibuka di daerah Dungun bagi menempatkan 64 mangsa daripada 15 keluarga.

"Semua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, SK Tok Kah, SK Kampung Nyior dan Dewan Sivik Paka manakala tiga PPS dibuka di Setiu bagi menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga," katanya.

Sementara itu, Che Adam berkata, banjir di daerah Kuala Terengganu juga menunjukkan peningkatan apabila dua PPS dibuka berbanding hanya satu pagi tadi

Katanya, ia menempatkan 53 mangsa daripada 18 keluarga di dua PPS iaitu SK Chendering dan SK Atas Tol.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus menyelamatkan penduduk, Fatimah And Rahman, 51 selepas rumahnya di Kampung petaling, Tepoh, dinaiki air. - Foto Ghazali Kori.
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus menyelamatkan penduduk, Fatimah And Rahman, 51 selepas rumahnya di Kampung petaling, Tepoh, dinaiki air. - Foto Ghazali Kori.
Berita Harian X