Selasa, 24 November 2020 | 5:10pm
Sungai Gong, Rawang yang mengalami pencemaran bau hingga menyebabkan rawatan loji Air Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dan Rantau Panjang di Selangor dihentikan, baru-baru ini. -NSTP/ASYRAF HAMZAH
Sungai Gong, Rawang yang mengalami pencemaran bau hingga menyebabkan rawatan loji Air Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dan Rantau Panjang di Selangor dihentikan, baru-baru ini. -NSTP/ASYRAF HAMZAH

PARLIMEN: Cadang talian 999 adu alam sekitar dicemar

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyokong cadangan supaya aduan berkaitan jenayah pencemaran alam sekitar dibuat menerusi talian kecemasan 999.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai sistem pengurusan aduan kecemasan melalui hotline 1-800-88-2727 yang boleh menggerakkan pejabat JAS negeri di seluruh negara.

"Sekiranya kedua-dua sistem ini dapat diintegrasikan, ia akan membolehkan laporan kes kecemasan jenayah alam sekitar diurus dengan cekap dan tindakan serta-merta di lapangan dapat digerakkan.

"Kementerian sudah melakukan perbincangan awal dengan pihak berkaitan berhubung perkara ini," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Cadangan itu dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) ketika sesi perbahasan RUU Perbekalan 2021 yang antara lain meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan aduan berkaitan jenayah pencemaran alam sekitar disalur menerusi talian 999.

Talian 999 ketika ini hanya menggabungkan perkhidmatan kecemasan bagi lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mengenai isu menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang tahun depan, Tuan Ibrahim menjelaskan, sejumlah RM12 juta diperuntukkan bagi Selangor, RM15.3 juta (Kelantan) dan Pahang (RM17.8 juta).

Beliau berkata, KASA sentiasa menyokong inisiatif dan program badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melestarikan alam sekitar termasuk menerusi Small Grant Programme (SGP) Malaysia yang menawarkan insentif geran pembiayaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga AS$50,000 (RM205,000) untuk melaksanakan projek pemuliharan alam sekitar di peringkat komuniti.

"Sejak 2001 sehingga Oktober tahun ini, program ini sudah membiayai 233 projek berkaitan alam sekitar, perubahan iklim dan biodiversiti dengan jumlah geran AS$8.45 juta (RM34.6 juta).

"Sebanyak 158 NGO dan pertubuhan masyarakat sudah menerima manfaatnya," katanya.

Berita Harian X