Selasa, 24 November 2020 | 2:47pm
Polis beri jaminan keadaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Pos 9 di sini, adalah terkawal berikutan kehadiran pasukan keselamatan. - Foto fail NSTP
Polis beri jaminan keadaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Pos 9 di sini, adalah terkawal berikutan kehadiran pasukan keselamatan. - Foto fail NSTP

Keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar terkawal

PADANG BESAR: Polis beri jaminan keadaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Pos 9 di sini, adalah terkawal berikutan kehadiran pasukan keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketika ini anggota Komando 69 (VAT69) masih berada di lokasi kejadian serangan bagi memantau keadaan.

"Kita sudah melakukan tinjauan di lokasi dan secara kebetulan ketika kejadian kita sudah ada anggota komando berdekatan.

"Keadaan di lokasi ketika ini adalah terkawal," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, sidang media berhubung kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand akan dibuat Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Terdahulu Abdul Hamid, Surina dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilihat masuk ke lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi sebelum keluar pada jam 2 petang.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal.

Difahamkan, sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan dua anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, awal pagi tadi.

Sumber memaklumkan, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah, menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dilakukan.

Berita Harian X