Selasa, 24 November 2020 | 11:47am

PARLIMEN: TV Pendidikan tingkat akses sumber pembelajaran

KUALA LUMPUR: Kemudahan TV Pendidikan berjaya membantu meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran, seterusnya meningkatkan penguasaan pengetahuan dalam kalangan mereka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata keberkesanan TV Pendidikan dilihat dalam konteks peluasan kebolehcapaian terutama dalam kalangan murid di kawasan yang tidak mempunyai akses talian Internet atau tidak memiliki peranti.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan sudah menambah masa siaran TV Pendidikan selama empat jam di Tutor TV Astro mulai 4 Mei dan memulakan siaran TV Pendidikan selama tiga jam di saluran NTV7 mulai semalam.

"Ini menjadikan keseluruhan siaran TV Pendidikan kepada sembilan jam sehari. Laporan Capaian Tontonan TV Pendidikan menunjukkan jumlah tontonan secara kumulatif di TV Okey sejak mula disiarkan pada 6 April lalu adalah 1.8 juta tontonan.

"Jumlah tontonan di saluran Astro mulai 4 Mei lalu adalah 5.4 juta tontonan," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi memastikan keberkesanan video pendidikan dalam pembelajaran, Radzi berkata, setiap video yang ingin dihasilkan akan melalui proses kawalan kualiti yang ketat termasuk pembabitan guru pakar mata pelajaran dan guru cemerlang dalam penyediaan skrip serta penyampaian video.

Katanya, ia bertujuan memastikan video yang dihasilkan selaras dengan keperluan kurikulum mata pelajaran berkenaan.

Radzi berkata, video yang dihasilkan perlu menggunakan standard penyiaran antarabangsa untuk menjaga kualiti teknikal penerbitan dan perlu melalui satu lagi proses kawalan kualiti di stesen berkenaan.

KPM juga, katanya, melaksanakan tinjauan pada 17 hingga 19 April lalu bagi melihat penerimaan dan keberkesanan penggunaan TV Pendidikan dalam kalangan murid, guru serta ibu bapa di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, tinjauan meliputi 600 sekolah, 12,506 murid, 17,665 guru dan 14,786 ibu bapa dan penjaga di lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Tinjauan mendapati rancangan TV Pendidikan disambut baik murid, guru dan ibu bapa dan 96.4 peratus murid bersetuju supaya slot TV Pendidikan ditambah.

"Selain itu, 98.7 peratus murid, 98 peratus guru dan 96 peratus ibu bapa dan penjaga bersetuju tempoh rancangan TV Pendidikan dilanjutkan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tinjauan juga mendapati 96 peratus guru berpandangan kandungan TV Pendidikan adalah selari dengan buku teks. Selain itu, 89 peratus ibu bapa dan penjaga berpandangan TV Pendidikan dapat menarik minat belajar anak mereka," katanya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin.
Berita Harian X