Isnin, 23 November 2020 | 10:24pm
Keadaan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon yang dinaiki air berikutan hujan lebat, petang tadi. - Foto ihsan Facebook Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Keadaan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon yang dinaiki air berikutan hujan lebat, petang tadi. - Foto ihsan Facebook Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Pekarangan kediaman rasmi MB Kedah dinaiki air

ALOR SETAR: Hujan lebat petang tadi menyebabkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon, di sini, dinaiki air yang gagal disalirkan ke parit berdekatan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keadaan itu berlaku akibat aliran air parit yang agak perlahan ke sungai.

"Bagaimanapun, air telah surut," katanya ketika dihubungi, lewat petang tadi.

Muhammad Sanusi turut kongsikan beberapa gambar dalam laman sosial beliau yang menunjukkan keadaan pekarangan kediaman itu dinaiki air, sekali gus berharap limpahan berkenaan tidak memasuki rumah.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan pula berkata, paras air di beberapa sungai dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kawasan rendah di sepanjang Sungai Padang Terap, Sungai Anak Bukit, Sungai Kedah dan Sungai Pendang.

Justeru, katanya, semua pihak diingatkan supaya berwaspada dengan peningkatan aliran air, hari ini.

"Paras air Sungai Padang Terap di Kuala Nerang melepasi aliran puncak dan menurun ke paras amaran, iaitu pada paras 17.03 meter (m) dengan aliran 184 meter padu sesaat (m³/s).

"Sementara itu, paras di Alator Pelubang meningkat kepada 8.75m berbanding paras normal 7.50m.

"Paras air di Sungai Pendang pula masih berada dalam keadaan normal, namun dijangka mengalami kenaikan dalam masa terdekat," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, MADA akan mengambil tindakan menyalurkan air lebihan melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada seperti dilakukan sejak 21 November lalu.

Katanya, air sungai terbabit dilepaskan melalui sistem pengairan Lana Bulu, Alor Changileh, Sistem Tengah dan Selatan, serta menerusi sistem saliran dengan pembukaan 'Pelubang Barrage' di Kampung Kepala Batu dan Ampang Jajar di Alor Setar.

Katanya, takungan air di Empangan Ahning kini berada pada paras 74.95 peratus dan Empangan Pedu (86.97 peratus), serta tiada pelepasan air dilakukan bagi kedua-dua empangan itu, setakat ini.

"Paras air di Empangan Muda pula meningkat kepada 111.2 peratus dan berlaku limpahan pada kadar 133.2 m³/s, hari ini.

"Limpahan air di empangan terbabit berlaku sejak 14 November lalu," katanya.

Berita Harian X