Ahad, 22 November 2020 | 8:33pm
Keadaan pasar malam di Batu Anam, Segamat, selepas dilanda ribut dan hujan lebat, petang tadi. - NSTP/AHMAD ISMAIL
Keadaan pasar malam di Batu Anam, Segamat, selepas dilanda ribut dan hujan lebat, petang tadi. - NSTP/AHMAD ISMAIL

Bertempiaran lari cari tempat berlindung

SEGAMAT: Pengunjung dan peniaga pasar malam di Batu Anam, di sini, bertempiaran lari mencari tempat berlindung apabila kawasan itu dilanda hujan lebat serta ribut, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menjejaskan hampir semua gerai di pasar malam berkenaan, malah banyak khemah jualan turut diterbangkan angin kencang.

Pengunjung, Zulkifli Abd Rahman, 49, berkata hujan lebat secara tiba-tiba disusuli ribut itu melanda selama kira-kira 40 minit.

"Ketika hujan lebat, saya bersama isteri, Saripah Abdullah, 47, serta pengunjung lain berlindung bawah khemah peniaga.

"Bagaimanapun, kami bertempiaran lari apabila ribut melanda sehingga menyebabkan banyak payung dan khemah kecil diterbangkan angin kencang," katanya.

Peniaga kuih, Maimunah Hussin, 52, berkata beliau berusaha menutup barangan jualannya dengan alas plastik tetapi ia diterbangkan ribut dalam insiden itu.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan rata-rata peniaga mengalami kerugian kerana barang jualan serta peralatan seperti khemah dan meja mengalami kerosakan.

"Kerangka besi khemah patah dan kanvas turut koyak akibat ribut itu," katanya sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai dugaan daripada Allah SWT.

Rakannya, Zalifah Abu Samah, 48, pula bersyukur kerana tiada yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Berita Harian X