Ahad, 22 November 2020 | 11:43am
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek. - Foto NSTP/Amir Mamat
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek. - Foto NSTP/Amir Mamat

Mangsa banjir di Melaka meningkat, hampir 400 dipindahkan

MELAKA: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 394 orang pagi ini berbanding 230 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), tengah malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata satu lagi PPS dibuka di Melaka Tengah bagi menempatkan 85 mangsa terjejas akibat banjir kilat, malam tadi.

PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil dibuka 11 malam tadi selepas berlaku kenaikan air di Taman Tuah Perdana, Tehel di sini menyebabkan 44 keluarga terpaksa dipindahkan segera ke lokasi selamat.

berkata hingga jam 8 pagi tadi, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek menyaksikan peningkatan jumlah mangsa.

Effendy berkata, seramai 73 mangsa terpaksa dipindahkan berbanding 55 mangsa pada 12 tengah malam tadi.

Katanya, ia susulan berlaku kenaikan air di Rumah Awam Ayer Molek selepas hujan lebat berterusan sejak 11 pagi hingga lewat petang semalam.

"Di Jasin pula, seramai 125 mangsa ditempatkan di PPS SK Tehel membabitkan 30 keluarga, manakala PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen pula menempatkan 39 mangsa dengan 11 keluarga.

"Di Alor Gajah, PPS SK Durian Tunggal menyaksikan pertambahan kepada 59 mangsa diikuti PPS SK Ganun (12 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (satu mangsa)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali melawat PPS Ayer Molek pagi tadi.

Lawatan diiringi EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Timbalannya, Datuk Wira Hasnor Sidang Hussien.

Berita Harian X