Sabtu, 21 November 2020 | 7:53pm

COVID-19: PKP hentikan penularan bukan tamatkan pandemik

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac sehingga kini, bertujuan menghentikan penularan dan mengurangkan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia bukanlah untuk menamatkan pandemik yang kini bukan saja melanda Malaysia, malah di seluruh dunia.

Beliau berkata, selama lapan bulan lalu, Malaysia berjaya mengawal penularan COVID-19 sehingga menjadikan kadar kebolehjangkitan pada tahap kurang daripada 1.0.

Namun, beliau berkata, bermula September lalu sehingga kini, kes meningkat sehingga lebih 50,000 di seluruh negara.

"Kita juga sedia maklum tempoh 10 bulan di lapangan, petugas di barisan hadapan sudah lesu mental dan fizikal, begitu juga rakyat Malaysia yang lesu dengan prosedur operasi standard (SOP)... mereka lesu mental dan fizikal.

"Namun, peperangan masih berlaku. Virus tidak lesu langsung tetapi akan mula menjangkiti apabila kita ambil mudah dan abaikan SOP," katanya pada Taklimat Khas Isu Semasa COVID-19, di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau berkata, PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negeri ketika ini, dilihat dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan, apabila Melaka dan Terengganu kini kembali ke PKP Pemulihan (PKPP) selepas kes positif berkurangan.

Katanya, walaupun kes positif COVID-19 baharu harian yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 1,041, ia masih lagi dalam julat 0.9 hingga 1.0

Beliau berkata, unjuran kadar kebolehjangkitan pada 1.0 adalah sebanyak 1,388 kes manakala kadar kebolehjangkitan pada 1.5 pula sebanyak 3,277 kes.

Justeru, katanya, kadar kebolehjangkitan perlu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga 0.5 atau lebih baik jika ia boleh menjadi 0.3 seperti sebelum gelombang ketiga.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika berucap pada taklimat khas bersama media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika berucap pada taklimat khas bersama media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
    Berita Harian X