Sabtu, 21 November 2020 | 9:33am
Antara pesakit yang bergejala COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth.- Foto fail /Mohd Adam Arinin
Antara pesakit yang bergejala COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth.- Foto fail /Mohd Adam Arinin

Tiada masalah katil tak cukup walaupun jumlah pesakit tinggi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui beberapa hospital COVID-19 di Sabah, khususnya di bandar raya ini dan Sandakan menampung kapasiti pesakit yang tinggi dengan kadar penggunaan katil melebihi 50 peratus.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun, berkata keadaan itu tidak berlaku sepanjang masa kerana ada pesakit dibenarkan keluar wad setiap hari.

"Secara keseluruhannya tiada masalah katil tidak mencukupi di hospital di Sabah setakat ini tetapi kita mengakui kapasiti pesakit di beberapa hospital seperti di Kota Kinabalu dan Sandakan agak tinggi berbanding di tempat lain," katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang mengatakan hospital COVID di Sabah semakin sesak, berikutan pertambahan ramai pesakit setiap hari.

Setakat semalam, katanya Hospital Queen Elizabeth (HQE) merekodkan 68 peratus penggunaan katil, manakala 61 peratus di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan 59 peratus di Hospital Duchess Of Kent, di Sandakan.

Beliau berkata, penggunaan katil yang tinggi di hospital terbabit disebabkan ia turut menerima ramai pesakit dari luar daerah.

Secara kseluruhan, katanya hanya 35 peratus daripada 6,478 katil, masing-masing 990 katil di hospital dan 5,480 di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh Sabah setakat semalam.

Bagi penggunaan katil di PKRC, katanya ada di antara pusat yang digunakan setakat hari ini tiada pesakit atau sifar penggunaan katil.

Berita Harian X