Jumaat, 20 November 2020 | 6:47pm

COVID-19: 958 kes baharu, tiga negeri sumbang angka tertinggi

PUTRAJAYA: Sebanyak 958 kes baharu dilaporkan, hari ini, dengan Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan menyumbangkan angka tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah mencatat 512 jangkitan, manakala Selangor dan Negeri Sembilan pula masing-masing 153 kes.

Beliau berkata, pertambahan jangkitan meliputi lima kes import itu menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia kini mencecah 52,638 dengan 13,221 kes aktif.

"Pelaporan kes positif yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan jangkitan bagi kluster, terutama Kluster Sabaru (149) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196).

"Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kes tinggi kerana pertambahan jangkitan dalam kluster sedia ada serta kluster baharu.

"Selain itu, 31 kes (3.2 peratus) dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Tembok (24), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga), Kluster Rumah Merah (dua), Kluster Penjara Sandakan (satu) dan Kluster Penjara Kepayan (satu)," katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, 110 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, beliau berkata, tiga kematian direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 329 kes (0.6 peratus).

Katanya, semua kematian itu dilaporkan di Sabah membabitkan masing-masing seorang wanita berusia 32 tahun, lelaki berumur 39 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi, dan wanita berusia 64 tahun yang berpenyakit jantung.

Hari ini, 956 kes dilaporkan sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 39,088 (74.3 peratus).

Berita Harian X