Jumaat, 20 November 2020 | 6:42pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang baru sahaja dipilih semula mengetuai kerajaan negara itu bagi penggal kedua baru-baru ini. - Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang baru sahaja dipilih semula mengetuai kerajaan negara itu bagi penggal kedua baru-baru ini. - Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin

Deklarasi Kuala Lumpur pemangkin tangani krisis ekonomi, kesihatan

KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur yang bakal dimeterai pada penghujung Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), malam ini adalah suatu pemangkin penting, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata deklarasi berkenaan adalah ejen utama bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang melanda rantau ini, berikutan penularan COVID-19.

"Saya berharap New Zealand akan memberi sokongan dalam usaha mencapai kata sepakat berhubung Deklarasi Kuala Lumpur pada penghujung Sidang Kemuncak APEC malam ini.

"Saya juga berharap Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru ditandatangani oleh 15 ekonomi pada Ahad lalu, akan mempermudahkan dan memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan antara negara anggota termasuk New Zealand," katanya dalam kenyataan, selepas menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, sebentar tadi.

Selain usaha merapatkan hubungan dua hala sedia ada, Muhyididn berkata perbincangan turut terarah kepada langkah yang perlu dirintis dalam meneroka kerjasama baharu pelbagai bidang bagi menjana manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya ekonomi dan pelancongan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Ardern dan parti pimpinannya iaitu, Parti Buruh atas kejayaan memenangi pilihan raya umum negara itu pada 17 Oktober lalu.

"Menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan berlangsung secara maya membabitkan 21 Ketua-Ketua Ekonomi APEC malam ini, saya mengambil kesempatan itu mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan kepada New Zealand yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Malaysia, sehingga membawa kepada terbentuknya Visi APEC Pasca-2020.

"Malaysia yakin, dokumen strategik jangka panjang itu akan memandu APEC ke arah menjadi wilayah yang lebih terbuka, dinamik, berdaya tahan dan makmur pada tahun-tahun mendatang.

"Saya ucapkan terima kasih kepada New Zealand atas sokongan dalam mencari penyelesaian kepada isu-isu yang hangat diperdebatkan seperti Sistem Perdagangan Multilateral, Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) dan Integrasi Ekonomi Serantau (REI)," katanya.

Berita Harian X