Jumaat, 20 November 2020 | 10:12am
epa08830183 A handout photo made available by Malaysia's Department of Information shows Japanese Prime Minister Yoshihide Suga delivering a speech on screen, at a command center, during APEC CEO Dialogues 2020, in Kuala Lumpur, Malaysia, 20 November 2020. Malaysia is set to host the first virtual APEC economic leaders meeting on 20 November due to the travel restrictions caused by the coronavirus pandemic. EPA/FANDY AZLAN / MALAYSIAN INFORMATION MINISTRY HANDOUT HANDOUT EDITORIAL USE ONLY/NO SALES
epa08830183 A handout photo made available by Malaysia's Department of Information shows Japanese Prime Minister Yoshihide Suga delivering a speech on screen, at a command center, during APEC CEO Dialogues 2020, in Kuala Lumpur, Malaysia, 20 November 2020. Malaysia is set to host the first virtual APEC economic leaders meeting on 20 November due to the travel restrictions caused by the coronavirus pandemic. EPA/FANDY AZLAN / MALAYSIAN INFORMATION MINISTRY HANDOUT HANDOUT EDITORIAL USE ONLY/NO SALES

PM baharu Jepun komited perkukuh hubungan APEC

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri baharu Jepun, Yoshihide Suga menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan perniagaan dengan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan terus memberikan sumbangan kepada usaha yang dilaksanakan pakatan ekonomi serantau itu.

Suga yang dilantik September lalu berkata, langkah lebih mampan untuk Asia Pasifik akan membolehkan semua negara berkembang dan meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.

"Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka akan menjadi landasan kemakmuran untuk rantau ini, justeru Jepun bercadang untuk mengambil peranan memimpin inisiatif ini bagi menjadikannya satu realiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog CEO APEC Malaysia 2020 bertajuk 'Memulakan Semula Pertumbuhan Asia Pasifik'.

Suga berkata, Jepun juga akan menerajui penggubalan peraturan antarabangsa berkaitan perdagangan digital di bawah konsep aliran bebas data dengan kepercayaan (DFFT).

Katanya, peranan itu termasuk rundingan e-dagang dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang turut dipengerusikan secara bersama oleh negara matahari terbit itu.

"Selain terus mempromosikan reformasi WTO, kami juga akan meneruskan usaha mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru dimuktamadkan.

"Jepun juga akan kekal utuh melaksana serta mengembangkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di mana kami adalah pengerusinya tahun depan.

"Keutamaan pentadbiran saya adalah mempromosikan transformasi digital dan mewujudkan masyarakat hijau," katanya.

Beliau menjelaskan, APEC adalah kerangka penting dalam mempromosikan liberalisasi perdagangan dan pelaburan, selain memperkukuhkan perhubungan selaras dengan peraturan antarabangsa dan rantau Asia Pasifik.

"Kekuatan APEC datangnya daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Baru-baru ini, saya menerima laporan ABAC kepada Pemimpin Ekonomi.

"Laporan ini menguatkan lagi pandangan saya bahawa transformasi serta inovasi digital akan menjadi kunci kemakmuran ekonomi di rantau ini.

"APEC juga kini membincangkan visi pembangunan 20 tahun akan datang menggantikan Matlamat Bogor. Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada ABAC dan pihak berkepentingan yang menyumbang ke arah perbincangan visi baharu ini," katanya.

Berita Harian X