Rabu, 18 November 2020 | 9:52pm
Gambar hiasan. - Foto Google
Gambar hiasan. - Foto Google

LRA Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran bau

KUALA SELANGOR: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang sekali lagi terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau seakan pelarut yang dikesan di muka sauk LRA itu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenai pencemaran itu.

Katanya, pencemaran dikesan pada 7 malam tadi dan henti tugas dilakukan pada jam 7.10 malam.

"Bau telah dikesan pada bacaan 1 TON di muka sauk LRA terbabit.

"LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan pihak terbabit sedang menjalankan siasatan serta tindakan mitigasi," katanya, hari ini.

Katanya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kali terakhir LRA Rantau Pajang dihenti tugas ialah pada 10 November lalu,

bersama tiga lagi LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), LRA Fasa 2 (SSP 2) dan LRA Fasa 3 (SSP 3) berikutan pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

Tindakan henti tugas terhadap semua loji itu dilakukan berikutan pencemaran bau dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang.

Difahamkan, sepanjang tahun ini, LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas enam kali akibat pencemaran sungai, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.

Berita Harian X