Rabu, 18 November 2020 | 7:18pm

KKM buka pusat kawalan bersepadu, bantu tadbir urus COVID-19 Lembah Klang

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 di Wilayah Tengah bagi membantu melancarkan tadbir urus dan pengoperasian semua hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan adanya pusat kawalan bersepadu itu, ia secara tidak langsung dapat membantu melancarkan pengurusan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan.

"Pusat kawalan ini akan diketuai Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan akan dibantu Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Sungai Buloh (HSgB), Dr Sarah Shaikh Abdul Karim sebagai timbalannya," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengenai kesiapsiagaan COVID-19 di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah meningkatkan jumlah katil sebanyak 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil ke 4,739 katil di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Di HSgB jumlah katil sudah ditingkatkan kepada 630 katil diikuti di Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu 831 katil. Pihak kementerian turut menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid COVID-19 dengan 230 katil.

"Kita turut membuka semula lapan blok Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sg Buloh sebagai PKRC dengan kapasiti 2,400 katil dan meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai PKRC yang memuatkan 648 katil," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan pada peringkat awal gelombang ketiga COVID-19 di negara ini, pihaknya hanya menggunakan HSgB dan HKL sebagai hospital rawatan COVID-19.

Bagi Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) pula ia dijadikan sebagai PKRC bagi pesakit kategori 1 dan 2 di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Namun begitu, peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di kawasan ini mengakibatkan hospital-hospital berkenaan mencatatkan kadar penggunaan katil yang tinggi dan kita terpaksa menambah bilangan katil bagi menampung kemasukan psakit susulan lonjakan kes positif di Lembah Klang," katanya.

Hospital Sungai Buloh
Hospital Sungai Buloh
Berita Harian X