X
Selasa, 17 November 2020 | 5:17pm
Gambar fail. Anggota tentera menjalankan rondaan dalam Op Benteng bagi mengesan PATI yang menceroboh sempadan Sarawak. - Foto Ihsan Markas ATM
Gambar fail. Anggota tentera menjalankan rondaan dalam Op Benteng bagi mengesan PATI yang menceroboh sempadan Sarawak. - Foto Ihsan Markas ATM

Op Benteng: 8,427 PATI, 789 tekong ditahan sejak Mei

KUALA LUMPUR: Seramai 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup ditahan manakala tiga bot serta tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 274 sekatan jalan raya (SJR) diadakan membabitkan Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) (54) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (210) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10), dalam operasi berkenaan.

"Secara kumulatif sejak 1 Mei lalu hingga semalam, seramai 8,427 PATI, 789 tekong dan 351 penyeludup berjaya ditahan dengan 227 bot serta 922 kenderaan darat dirampas.

"Operasi Benteng membabitkan PDRM, ATM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan AKSEM mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X