Selasa, 17 November 2020 | 3:43pm

Kerjasama antarabangsa mampu tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Kerjasama antarabangsa membabitkan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mampu menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi ketika ini, demikian pandangan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Pengerusi ABAC, Datuk Rohana Mahmood berkata, pemimpin perniagaan di Asia Pasifik menggesa kerajaan APEC menyatakan komitmen untuk bersama-sama mengatasi pandemik COVID-19 dan menerapkan visi kukuh secara kolektif.

Katanya, kerjasama antarabangsa itu adalah satu gerakan yang akan berfungsi sebagai kerangka pemulihan dan pertumbuhan ekonomi berterusan di rantau ini.

"Cabaran ini menuntut kerjasama dan koordinasi. Kita semua akan menjadi lebih kuat apabila bertindak bersama.

"ABAC juga meminta supaya mengadakan Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik. Kami mahukan wilayah yang secara bersama menghadapi cabaran yang ada serta menghargai hubungan antara semua termasuk perdagangan, pelaburan bebas dan terbuka di samping ekonomi digital yang dinamik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat ABAC KE-4 bersempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli ABAC, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Datuk Ruben Emir Gnanalingam; serta Ahli Gantian ABAC, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Rohana berkata, negara anggota APEC perlu menyedari kepentingan inovasi, hubungan dan keperluan untuk mengembangkan infrastruktur digital yang mantap secara bersama dengan persekitaran pengawalseliaan yang boleh mendorong pertumbuhan ekonomi berterusan dan inklusif.

"Ini adalah tempoh yang belum pernah dihadapi sebelum ini dan menuntut maklum balas yang berani," katanya.

Beliau berkata, untuk jangka masa panjang, ABAC akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu membabitkan integrasi ekonomi, inovasi (digitalisasi) dan kelestarian.

Katanya, pandemik COVID-19 memberi impak besar dan menyukarkan semua pihak untuk mencapai matlamat disasarkan.

"Namun, bagi mengatasi isu ini, kita perlu memberi penekanan terhadap perusahaan kecil, golongan wanita, komuniti Orang Asli, belia dan kumpulan lain yang kurang bernasib baik.

"Kita juga perlu bersatu untuk membina komuniti ekonomi Asia Pasifik yang mampan," katanya.

Rohana menegaskan, laporan ABAC dibangunkan berdasarkan saranan yang dibuat pada Julai kepada Menteri Perdagangan APEC bagi menangani krisis pada kadar segera.

Katanya, tindak balas terhadap krisis kekal menjadi satu keperluan mendesak di kebanyakan ekonomi, selain memerlukan tumpuan berterusan bagi memastikan akses kepada bekalan dan perkhidmatan perubatan penting termasuk vaksin.

"Tumpuan juga perlu diberikan bagi memastikan rantaian bekalan berfungsi dan mengelakkan pendekatan dasar berpecah, termasuk membabitkan ekonomi digital dan pembukaan perjalanan rentas sempadan yang selamat.

"Ia akan berfungsi untuk menghidupkan kembali kegiatan perniagaan dan permintaan pasaran, yang akan mempercepat lagi pemulihan ekonomi global," katanya.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood pada sidang media selepas Mesyuarat ABAC KE-4 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood pada sidang media selepas Mesyuarat ABAC KE-4 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X