Selasa, 17 November 2020 | 12:47pm

RM157.3 juta dana insentif getah dibayar sejak Januari, harga getah merosot

KUALA LUMPUR: Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat ketara pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, Datuk Seri Wee Jeck Seng, berkata bagi tempoh Januari lalu hingga kini, sebanyak RM157.3 juta dana IPG dibayar kepada 127,420 pekebun kecil bagi 163.4 juta kilogram getah.

Justeru, katanya justeru kerajaan menambah peruntukan IPG sebanyak RM50 juta kepada RM150 juta dalam Belanjawan 2021.

"Pada pertengahan tahun ini, tuntutan IPG dalam kalangan pekebun kecil getah meningkat dengan mendadak disebabkan kemelesetan harga getah di pasaran dunia akibat penularan pandemik COVID-19 dan usaha kerajaan supaya lebih ramai pekebun kecil menuntut IPG.

"Tuntutan IPG yang mendadak ini menyebabkan peruntukan sebanyak RM100 juta tidak mencukupi, justeru atas keprihatinan membantu pekebun kecil getah yang majoritinya terdiri daripada B40, kerajaan menambah RM50 juta lagi

"Kebajikan dan kestabilan pendapatan pekebun kecil getah tetap menjadi keprihatinan kerajaan apabila lebih banyak peruntukan bagi tahun 2021 disediakan, iaitu RM300 juta bagi membantu mereka," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Salim Shariff (BN-Jempol) berhubung baki semasa peruntukan IPG bagi tahun ini dan meminta perincian mengenai isu kelewatan pembayaran insentif berkenaan kepada pekebun getah.

Kepada soalan tambahan Salim yang membangkitkan mengenai sasaran kerajaan untuk menyelesaikan isu kelewatan bayaran IPG, Jeck Seng memberi jaminan masalah sedemikian tidak akan berulang.

Katanya, isu kelewatan pembayaran IPG kepada pekebun getah akan dirungkai secepat mungkin, selari komitmen kerajaan yang menambah peruntukan insentif berkenaan sebanyak 50 peratus daripada dana asal.

"Saya akan lihat perkara ini supaya dapat dipercepatkan bayaran (IPG) berkenaan, tetapi isunya ketika ini ialah ramai pekebun perlu memohon insentif secara manual, iaitu isi borang, sertakan resit jualan dan hantar hasil ke pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Kaedah ini kurang berkesan, justeru kementerian berusaha untuk melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik dan memudah cara pekebun kecil getah.

"Susulan itu, kementerian menerusi LGM mewujudkan aplikasi Lembaga Getah Malaysia (RRIM) Niaga dan mewajibkan penggunaan aplikasi ini kepada peraih, pelesen dan pembeli getah, mulai 1 Januari 2021.

"Kita harap menerusi RRIM Niaga, ia akan beri kesan positif apabila pekebun kecil tidak lagi perlu mengisi borang, sebaliknya secara automatik, selepas peniaga getah merekodkan butiran transaksi jual beli, dana IPG akan disalurkan terus ke akaun pekebun kecil yang layak pada bulan berikutnya," katanya.

Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat ketara pada pertengahan tahun ini. - Foto NSTP
Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat ketara pada pertengahan tahun ini. - Foto NSTP
Berita Harian X