Isnin, 16 November 2020 | 12:00pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto NSTP

PDRM saring penempatan jawatan di D7, Narkotik

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas dibentuk oleh Jabatan Pengurusan Bukit Aman untuk menyaring semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Saringan ini bertujuan memastikan setiap pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di bahagian yang mudah terdedah kepada unsur penyelewengan membabitkan rasuah, mempunyai integriti yang tinggi sebelum layak untuk bertugas di bahagian berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya kini dalam proses menukarkan segelintir pegawai dan anggota dari D7 dan Narkotik yang disyaki mengambil kesempatan daripada sindiket tertentu atau penjenayah yang menjalankan kegiatan perjudian dan dadah.

"Proses saringan ini membabitkan peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah. Untuk peringkat permulaan tumpuan utama kita adalah di sekitar Lembah Klang, terutama Kuala Lumpur.

"Ini adalah amat penting bagi memastikan Kuala Lumpur dapat dibersihkan daripada elemen pegawai dan anggota yang menyeleweng serta memberikan imej yang tidak baik kepada pasukan PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya kepada BH.

Abdul Hamid berkata, pertukaran 34 pegawai kanan di seluruh negara pada 26 Oktober lalu juga mempunyai kaitan dengan masalah integriti selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket tertentu.

"Dalam masa terdekat ini masih ada lagi pertukaran yang dilakukan dan saya meletakkan semua tanggungjawab itu terhadap Jabatan Pengurusan yang kini dipimpin oleh Datuk Ramli Din.

"Mana-mana pegawai dan anggota yang berpotensi dan melepasi saringan yang dibuat maka mereka akan diserapkan ke-tempat panas seperti D7 dan narkotik," katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang mempunyai 'jalinan mesra' dengan sindiket atau penjenayah tertentu, malah akan mengambil tindakan berterusan untuk membersihkan PDRM, terutama di Lembah Klang termasuk melipatgandakan usaha menerusi Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas mereka.

"Tindakan sekeras-kerasnya saya akan buat ke atas mana-mana pegawai yang menyeleweng terutamanya yang bersekongkol dengan sindiket judi dan dadah," katanya.

Pada 7 Oktober lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan PDRM serta merampas wang tunai RM100,000, berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Empat pegawai kanan terbabit masing-masing seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal. Semua anggota terbabit bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Siasatan lanjut SPRM dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pegawai kanan polis berkenaan menerima 'habuan' lumayan daripada seorang lelaki berpangkat Datuk, bagi melindungi aktiviti judi dalam talian tempatan dan Macau Scam yang menyasarkan mangsa di China

SPRM juga sedang mengesan baki sebahagian lagi pegawai dan anggota polis yang bertugas di peringkat Bukit Aman, Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan kes melindungi kegiatan judi dalam talian dan Macau Scam.

Kes membabitkan pegawai kanan polis berkenaan itu dikesan susulan penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh SPRM kerana dikatakan terbabit 'mencuci wang haram' daripada sindiket Macau Scam dan pengendali judi dalam talian.

Berita Harian X