Ahad, 15 November 2020 | 7:05pm

COVID-19: Tiga lagi kluster baharu

PUTRAJAYA: Tiga kluster baharu dilaporkan, manakala satu kluster diisytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga kluster baharu itu dikesan di Sabah dan Johor.

Beliau berkata, Kluster Plaza dikesan di Kota Kinabalu dan kes indeks bagi kluster adalah kes ke-42,299, dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November lalu.

Katanya, kes indeks itu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kota Kinabalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19 manakala sejumlah 19 individu sudah disaring.

"Kluster Jalan Kalabakan di Tawau membabitkan kes indeks iaitu kes ke-31,309 yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Tawau.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 21 lagi kes positif COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jeri pula dikesan di Kota Tinggi, Mersing dan Muar di Johor.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November lalu.

Katanya, hasil saringan kontak rapat di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 26 kes positif COVID-19 dan kes itu dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 1,170 individu sudah disaring dan 26 kes dikesan positif COVID-19 termasuk tiga kes baharu dan 535 individu dikesan negatif, manakala 609 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Kluster Bah Arnab diisytiharkan tamat hari ini.

Beliau berkata, kluster itu direkodkan di Kuching, Sarawak dan seramai 72 individu sudah disaring setakat hari ini.

Katanya, seramai 12 kes dikesan positif COVID-19, manakala 60 individu lagi adalah negatif.

"Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X