Ahad, 15 November 2020 | 7:01am

Belanjawan 2021 fokus bantu rakyat, pacu semula ekonomi

PENULARAN pandemik COVID-19 menjadikan 2020 sebagai tahun amat mencabar dan turut menjejaskan ekonomi negara. Ikuti kupasan mendalam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bersama wartawan BH, Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Zaky Zainuddin pada sidang media khas di ibu negara, semalam.

Soalan (S): Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengumumkan ekonomi negara menguncup 2.7 peratus pada suku ketiga tahun ini. Pandangan Datuk Seri?

Jawapan (J): Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan prestasi ekonomi negara menunjukkan penambahbaikan ketara pada suku ketiga tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan 18.2 peratus pada suku ketiga berbanding suku kedua, penguncupan hanya 2.7 peratus.

Ini jauh berbeza dengan penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua ketika negara dikejutkan oleh gelombang COVID-19. Pada kadar -2.7 peratus, prestasi Malaysia adalah yang terbaik di rantau ini berbanding Singapura (-7 peratus), Indonesia (-3.5 peratus) dan Filipina (-11.5 peratus). Malah, negara maju turut mengalami penguncupan seperti di zon Eropah 4.3 peratus dan Amerika Syarikat (AS), -2.9 peratus.

Prestasi suku ketiga kita lebih baik dan menunjukkan pemulihan selaras pembukaan semula ekonomi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19.

S: Jangkaan suku keempat tahun ini?

J: Pemulihan ekonomi yang kukuh dapat dilihat melalui prestasi ekonomi bagi suku ketiga. Ini membuktikan pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat mendatangkan hasil dan tidak memudaratkan ekonomi negara.

Langkah PKP yang pelbagai adalah bertepatan dan kita perlu menyeimbangi usaha melawan COVID-19 serta menjana ekonomi tanpa membahayakan kesihatan awam.

Suku keempat, usaha membendung wabak ini berterusan dengan kelonggaran yang diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta kementerian dan agensi terbabit. Saya percaya kita berada di landasan yang betul. Kita perlu mendisiplinkan diri, mengikuti prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak membahayakan diri dan ekonomi tatkala menjalankan aktiviti harian.

S: Sasaran pertumbuhan KDNK 6.5 hingga 7.5 peratus tahun depan tidak realistik?

J: Ia berdasarkan andaian pertumbuhan ekonomi kerajaan untuk tahun depan yang mana Belanjawan 2021 akan memacu KDNK sekitar empat peratus tahun depan. Perbelanjaan pembangunan memberi kesan positif empat peratus kepada KDNK. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, S&P (Standard and Poor's) dan Moody's turut membuat unjuran sama.

Andaian dibuat kerajaan merangkumi ketersediaan vaksin COVID-19. Kita berpendapat pengkomersialan vaksin lebih cepat, insya-Allah dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

Faktor itu akan memulihkan ekonomi global dan ekonomi terbuka seperti kita akan mendapat kesan positif. Kita akan mendapatkan semula trajektori sebelum ini yang menunjukkan pemulihan positif.

Dengan PKPB ketika ini, sudah tentu ekonomi kita terkesan sedikit, terutama sektor peruncitan dan pelancongan tetapi eksport dan pembuatan kekal berfungsi dengan baik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/Aswadi Alias
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/Aswadi Alias

S: Bagaimana ekonomi negara dapat dipacu semula?

J: Insya-Allah langkah yang diambil akan membantu kita meneruskan trajektori pemulihan ekonomi yang dilihat sepanjang lima bulan lalu. Sekarang kita melihat penanda aras ekonomi seperti eksport meningkat, sektor pembuatan juga berkembang, manakala sektor perkhidmatan merekodkan penguncupan lebih kecil.

Ini petanda positif dan usaha memulihkan sektor terkesan melalui pakej diumumkan sebelum ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kekal berjalan.

Ini diperhebatkan dengan Belanjawan 2021. Semua ini membantu negara merekodkan penurunan kadar pengangguran kepada 4.6 peratus pada September lalu. Ia bermula dengan 5.3 peratus pada Mei, turun kepada 4.9 peratus pada Jun dan 4.7 peratus bagi Julai serta Ogos.

Pasti ada risiko pada perniagaan akibat ketidaktentuan COVID-19 yang dilihat sekarang, yang mana kita melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dan ia memberi kesan kepada pendapatan serta pekerjaan itu sendiri. Kerajaan berusaha memperkukuhkan penjanaan pekerjaan di sektor awam, melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta dengan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan baharu.

Kita juga memberi fokus sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, peralatan perubatan dan sebagainya. Kita mahu menghasilkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

S: Apa rasional pengurangan caruman KWSP dibuat dan bagaimana perincian pengeluaran Akaun 1?

J: Pengurangan caruman KWSP daripada 11 kepada sembilan peratus dapat memberi kecairan kepada ekonomi berjumlah RM9.3 bilion.

Menerusi i-Lestari sebelum ini, pencarum boleh mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan sehingga April tahun depan, dengan 4.7 juta pekerja berbuat demikian daripada Akaun 2 dan jumlahnya hampir RM12 bilion.

Untuk Akaun 1, memang kita keberatan kerana bimbang dengan simpanan masa depan, tapi kita mendengar keresahan rakyat. Kita benarkan pencarum keluarkan simpanan Akaun 1 tetapi secara bersasar.

Rundingan masih dibuat dengan KWSP, khususnya untuk memperluaskan jumlah pencarum layak kerana sebelum ini kira-kira 600,000 pencarum yang boleh mengeluarkan wang mereka.

S: Sambutan terhadap semua usaha membantu perniagaan dan rakyat terkesan?

J: Sangat baik. Sebelum pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2021, kerajaan membantu 70,000 rakyat mendapatkan pekerjaan melalui insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan. Seramai 106,000 individu dibantu untuk meningkatkan kemahiran dan 322,000 majikan mengekalkan kapasiti perniagaan melalui Program Subsidi Upah (PSU), di samping membantu mengekalkan pekerjaan kira-kira 2.6 juta pekerja.

Usaha ini dijalankan sejak pakej PRIHATIN dan pemulihan ekonomi memastikan perniagaan bersedia melonjak apabila ekonomi semakin pulih. Usaha ini diteruskan melalui Belanjawan 2021. Selagi vaksin COVID-19 belum tersedia secara komersial, kerajaan optimis, namun berwaspada dan komited untuk memastikan ruang fiskal mencukupi dalam menangani cabaran masa depan.

S: Boleh Datuk Seri kupas inti pati Belanjawan 2021?

J: Perbahasan sedang berlangsung di Dewan Rakyat. Pada asasnya, rang undang-undang (RUU) ini dibentang untuk meluluskan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi membolehkan pentadbiran kerajaan terus berfungsi dan berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan.

Contohnya, lebih RM31 bilion untuk KKM, tidak merangkumi RM2.8 bilion di bawah Kumpulan Wang Amanah COVID-19 dan pelbagai tambahan sumber untuk menangani penularan wabak ini termasuk komitmen RM3 bilion untuk vaksin.

Satu lagi peruntukan adalah lebih RM30.8 bilion yang diumumkan dalam bentuk insentif, elaun serta bantuan dan lebih RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Ini berkait pemulihan ekonomi yang kita lihat sejak Mei lalu, dibantu oleh PRIHATIN dan PENJANA yang mendapat sokongan sebulat suara di Dewan Rakyat.

Kita tidak mahu segala usaha ini terganggu jika Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan sewajarnya.

Dalam jangka sederhana dan panjang, strategi ekonomi perlu difokuskan untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur kepada ekonomi kita. - NSTP/Osman Adnan
Dalam jangka sederhana dan panjang, strategi ekonomi perlu difokuskan untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur kepada ekonomi kita. - NSTP/Osman Adnan

S: M40 dikatakan kurang mendapat manfaat dalam Belanjawan 2021. Pandangan Datuk Seri?

J: Memang B40 mendapat pelbagai bantuan dari segi tunai. M40 juga ada beberapa bantuan. Saya boleh bahagikan kepada dua kategori untuk M40 ini. Pertama kategori hilang pekerjaan dan kedua masih ada pekerjaan.

Bagi yang hilang pekerjaan, kita menaikkan jumlah peruntukan untuk mereka dan menambah baik elaun mencari pekerjaan dari enam bulan kepada sembilan bulan, Peruntukan latihan meningkatkan kemahiran juga disediakan iaitu lebih RM1 bilion. Jika dilatih semula, ada jaminan mendapat pekerjaan. Kita membuat latihan ini bersama majikan supaya mereka mendapat pekerjaan apabila tamat latihan kelak.

Bagi yang masih ada pekerjaan, kita mengumumkan penurunan cukai pendapatan satu peratus bagi yang berpendapatan RM50,001 hingga RM70,000 setahun. Sumbangan KWSP juga dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus, manakala pengeluaran Akaun 2 untuk insurans dan takaful juga dibenarkan.

Kita kena lihat penyelesaian jangka panjang untuk golongan M40, peluang pekerjaan dan kerajaan beri jaminan akan fokus kepada perkara ini. Malah, 500,000 peluang pekerjaan akan dijana melalui pelbagai program seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

S: Isu moratorium terus disentuh. Bagaimana untuk ditangani?

J: Moratorium di bawah PRIHATIN dan diumumkan juga dalam Belanjawan 2021 yang mana M40 boleh membuat permintaan untuk menstruktur atau melanjutkan moratorium jika hilang pekerjaan atau gaji mereka terkesan.

Saya umumkan proses ini akan dipermudahkan yang mana golongan M40 hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri dan setakat ini, 98 peratus permohonan dalam kalangan M40 sudah diluluskan.

S: Perancangan jika Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan di Parlimen?

J: Saya optimis kerana Belanjawan 2021 fokusnya rakyat, perniagaan dan menjana semula ekonomi. Jika ia dapat menolong negara, tiada sebab mengapa ia harus ditolak. Secara ekonomi, Belanjawan 2021 akan membolehkan kerajaan membiayai komitmen, termasuk kepentingan barisan hadapan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan sebagainya.

S: Hutang kerajaan ketika ini dikatakan terlalu tinggi. Bagaimana menjana ekonomi jika perkara luar jangka berlaku?

J: Banyak perbezaan pendapat mengenai hutang negara. Sebagai kerajaan, kita tidak berkompromi melihat kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Kita boleh lihat hutang dari segi defisit yang dijangka mencecah enam peratus tahun ini, lebih tinggi daripada jangkaan asal ketika Belanjawan 2020 diumumkan iaitu diunjur 3.2 peratus.

Kita naikkan paras siling hutang dan defisit juga meningkat kepada enam peratus. KDNK sudah tentu menyusut tahun ini. Kita masih memiliki kemampuan dan kecairan tinggi. Semua suntikan fiskal yang dibuat tahun ini menerusi pakej PRIHATIN, PRIHATIN+, PENJANA dan Kita Prihatin yang berjumlah RM55 bilion adalah menerusi pinjaman tempatan.

Ia bermakna kita menggunakan mata wang tempatan dan tidak bergantung kepada mata wang asing. Kita melihat ruang ini berdasarkan kecairan selain kadar faedah kita juga rendah. Kadar Dasar Semalaman (OPR) kita adalah 1.75 peratus yang menunjukkan kadar kecairan tinggi dan membolehkan kita memiliki banyak ruang menjana ekonomi.

Kita berada dalam kedudukan baik. Apa yang penting adakah kita memiliki ruang untuk meminjam. Negara lain yang tidak memiliki kecairan terpaksa meminjam dengan negara luar tetapi kita tidak perlu berbuat demikian.

Untuk Belanjawan 2021, unjuran kita menggunakan pasaran domestik. Had siling hutang negara yang mendapat kelulusan Parlimen adalah 60 peratus. Kita tidak akan mencecah paras siling, namun jika terpaksa mencecah sekali pun, kita masih ada ruang kerana setiap satu peratus mewakili pinjaman atau perbelanjaan RM15 bilion. Jadi kadar lima peratus (had siling sebelum ini adalah 55 peratus) adalah tinggi membabitkan pinjaman dan perbelanjaan sekitar RM75 bilion ke dalam ekonomi kita.

Setiap RM1 dibelanjakan dalam perbelanjaan pembangunan harus menjana lebih daripada itu. Kita harus melihat dari sudut jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

S: Adakah peruntukan untuk PKS mencukupi dalam Belanjawan 2021?

J: Kerajaan cuba bantu seberapa ramai yang boleh, yang penting buat mereka adalah aliran tunai. Kerajaan mengadakan kerjasama dengan bank, malah BNM juga ada menyebut mengenai inisiatif baharu untuk PKS. Perincian akan diumumkan.

Program Subsidi Upah (PSU) dimanfaat kira-kira 330,000 PKS dengan syarikat dapat mengekalkan 2.6 juta pekerja dengan kos mencecah RM12 bilion. Ia bukan jumlah rendah. PSU dilanjutkan dalam Belanjawan 2021 untuk sektor paling terkesan seperti pelancongan dan peruncitan. Jika kita lihat kerajaan banyak membantu PKS dan kuantum sokongan lebih besar.

S: Adakah RM1 bilion untuk Kumpulan Wang Amanah COVID-19 mencukupi?

J: Jumlah ini diperuntukkan dalam Kumpulan Wang Amanah COVID-19 dengan RM31 bilion adalah tambahan untuk kesihatan. Kita memiliki fleksibiliti untuk menaikkan dana Kumpulan Wang COVID-19 kepada RM20 bilion.

Ketika ini unjurannya RM1 bilion. Kelulusan yang diterima kerajaan adalah RM45 bilion. Daripada sasaran kita, RM10 bilion adalah untuk Kita Prihatin, manakala RM10 bilion untuk COVID-19 terutama pembelian vaksin. Kerajaan komited untuk memperuntukkan dana membeli vaksin. Kita juga telah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta KKM mengenai peruntukan RM3 bilion bagi pembelian vaksin untuk 70 peratus penduduk Malaysia.

Berita Harian X