Sabtu, 14 November 2020 | 10:22am
LUAS dan Air Selangor mengesan bau di udara berhampiran kawasan perumahan Saujana, Rawang, tengah malam tadi. - Foto LUAS
LUAS dan Air Selangor mengesan bau di udara berhampiran kawasan perumahan Saujana, Rawang, tengah malam tadi. - Foto LUAS

LUAS, Air Selangor kesan bau di udara

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau di udara berhampiran kawasan perumahan Saujana, Rawang, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Menurut Facebook rasmi LUAS, pencemaran bau itu dikesan ketika pihak berkenaan melaksanakan pemantauan Ops Sumber Air.

- Foto LUAS
- Foto LUAS

"LUAS dan Air Selangor membuat pensampelan bau air Sungai Kundang berhampiran taman berkenaan, serta mengesan bau sebanyak 4 TON.

"LUAS bersama Air Selangor menjalankan siasatan di Taman Velox dan mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) sudah melimpah, disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, LUAS dan Air Selangor mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar serta dalam takungan kawasan disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK berkenaan.

IWK juga sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, LUAS berkata setakat ini tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X