Jumaat, 13 November 2020 | 1:25pm
Gangguan bekalan air bermula Selasa lalu, memaksa penduduk mengharapkan bantuan yang dihantar Air Selangor untuk kegunaan harian. - NSTP/OSMAN ADNAN
Gangguan bekalan air bermula Selasa lalu, memaksa penduduk mengharapkan bantuan yang dihantar Air Selangor untuk kegunaan harian. - NSTP/OSMAN ADNAN

Bekalan air Lembah Klang kembali pulih

SHAH ALAM: Bekalan air di tujuh wilayah yang terjejas susulan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) pada Selasa lalu, pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, semua 1,279 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sudah menerima bekalan air bersih sepenuhnya.

"Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selalu lalu, empat LRA iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Susulan itu, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, mengalami gangguan bekalan air.

Keempat-empat LRA bagaimanapun kembali beroperasi pada Rabu dan pemulihan bekalan air bersih kepada pengguna berlangsung secara berperingkat.

Berita Harian X