Jumaat, 13 November 2020 | 11:56am

Bekas Presiden UMANY dituduh ingkar arahan polis

PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Yan Ke, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yan Ke didakwa mengingkari perintah Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah, di sini, 7 November lalu.

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab, menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam.

Bagaimanapun, OKS dalam rayuannya melalui peguam, Rajsurian Pillai, memohon dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman diperuntukkan adalah rendah, selain sudah memberikan kerjasama penuh.

Selain itu, beliau yang kini bekerja dengan seorang Ahli Parlimen, hanya berpendapatan RM2,600 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan Yan Ke diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Yan Ke ditahan ketika polis menyerbu kediaman Presiden UMANY, Yap Wen Qing, untuk siasatan berhubung kes kenyataan kontroversi terhadap peranan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Presiden UMANY, Wong Yan Ke (dua dari kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini. -NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Bekas Presiden UMANY, Wong Yan Ke (dua dari kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini. -NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X