Rabu, 11 November 2020 | 6:32pm

COVID-19: 3 lagi kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak tiga kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan Kluster Karamunting di Sandakan, Kluster Saga di Kota Kinabalu dan Kluster Haven di Lahad Datu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks bagi Kluster Karamunting dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat berhasil mengesan sebanyak 20 lagi kes positif COVID-19. Semua kes terbabit dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Kompleks Sukan Sandakan dan Dewan Rafflesia Sandakan.

"Hingga kini, seramai 30 individu disaring yang mana 21 daripadanya disahkan positif," katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi Kluster Saga pula dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November lalu.

Saringan kontak rapat berhasil mengesan sebanyak lapan lagi kes positif dan semuanya dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Hingga hari ini, sejumlah 56 individu disaring yang mana sembilan daripadanya disahkan positif dan 47 lagi masih menunggu keputusan.

"Bagi Kluster Haven, lima kes indeks dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 5 November lalu.

"Sejumlah 140 individu disaring setakat ini yang mana 11 daripadanya disahkan positif, 112 negatif dan 17 lagi masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X