Rabu, 11 November 2020 | 2:34pm
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengadakan lawatan ke Hospital Medan ATM, di Kompleks Sukan Tawau. - Foto NSTP / Abdul Rahemang Taiming
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengadakan lawatan ke Hospital Medan ATM, di Kompleks Sukan Tawau. - Foto NSTP / Abdul Rahemang Taiming

COVID-19: Operasi Hospital Medan ATM mungkin dilanjut 6 bulan lagi

TAWAU: Operasi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Sukan Tawau, di sini, dijangka dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi bagi menyokong Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID-19.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata keperluan perlanjutan itu berdasarkan trend semasa peningkatan jangkitan COVID-19 di Sabah dan daerah ini khasnya.

Walaupun pada peringkat awal perancangan penubuhan hospital itu hanya untuk tiga bulan, operasinya dijangka dilanjutkan sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

"Apa yang sedang kita lakukan ketika ini adalah meningkatkan keupayaan kepakaran dan fasiliti lain supaya menjadi lebih lengkap selain latihan kepada para petugas," katanya selepas lawatan ke Hospital Medan ATM, hari ini.

Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Medan ATM, di Kompleks Sukan Tawau. - Foto NSTP / Abdul Rahemang Taiming

Yang turut hadir, Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad; Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim; Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Omar Mammah.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya belum merancang untuk meluaskan atau membesarkan lagi kapasiti hospital yang kini berada pada tahap optimum.

Operasi dan khidmat hospital medan berkenaan memberi nilai tambah selain peluang dan pengalaman berharga kepada pegawai dan anggota ATM terutama pegawai perubatan dan doktor muda bertugas dalam suasana yang berbeza berbanding hospital biasa.

"Kewujudan hospital ini memberi impak sangat signifikan yang membantu meningkatkan keupayaan kapasiti katil sebanyak 25 peratus di Hospital Tawau bagi keperluan pesakit bukan COVID-19," katanya.

Berita Harian X