Rabu, 11 November 2020 | 2:22pm
Keadaan persekitaran loji IWK dekat Taman Velox, Rawang, yang bertukar warna susulan bahan kimia berjadual yang disalurkan ke situ
Keadaan persekitaran loji IWK dekat Taman Velox, Rawang, yang bertukar warna susulan bahan kimia berjadual yang disalurkan ke situ

Kerajaan Selangor pertikai IWK, SPAN lewat lapor pencemaran

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mempertikaikan kelewatan Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan mengenai kejadian sisa kimia mengalir ke loji kumbahan IWK dekat Rawang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, mendedahkan yang sisa buangan berwarna merah diterima loji rawatan IWK sejak 4 November lalu.

Beliau berkata, kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan seterusnya bertindak menutup loji mereka.

"Laporan polis juga sudah dibuat SPAN. Bagaimanapun saya hairan, mengapa kerajaan negeri (Lembaga Urus Air Selangor - LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Sekiranya kerajaan negeri mendapat makluman awal, sudah pasti tindakan mengesan premis yang bertanggungjawab akan dilakukan pada kadar segera.

"Ini adalah kali ke empat risiko yang ditimbulkan oleh IWK iaitu dua di Bukit Mahkota, Cheras; satu di Batang Kali serta yang terbaharu di Rawang (semalam) dan mereka perlu bertanggungjawab menjaga premis mereka," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan tambahan daripada R Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai pencemaran sumber air di Sungai Selangor semalam, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Loy Sian berkata, sebuah stor pembuangan sisa berjadual di Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca kepada pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor, semalam.

Beliau berkata, hasil serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan lain-lain mendapati premis berkenaan terletak kira-kira 700 meter daripada Sungai Gong.

"Hasil serbuan, pihak berkuasa mengesan premis itu membuang sisa ke dalam tandas dengan penemuan hos dan beberapa peralatan lain," katanya.

Semalam, empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Susulan itu, Air Selangor memaklumkan, 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang semalam.

Berita Harian X