Rabu, 11 November 2020 | 2:03pm
Industri bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja terjejas teruk akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKPB. - Foto Arkib NSTP
Industri bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja terjejas teruk akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKPB. - Foto Arkib NSTP

Usahawan terjejas termasuk pengusaha bas akan dibantu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mencadangkan alternatif dan penyelesaian bagi membantu usahawan khususnya peniaga kecil dalam pelbagai sektor yang terjejas berikutan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mana-mana kementerian yang mendapati ada usahawan di bawah sektor mereka berdepan masalah dalam perniagaan, perlu menyalurkan maklumat dan berbincang dengan MEDAC.

"MEDAC sedia untuk melihat dan mengkaji bagaimana kita boleh membantu. Berkemungkinan kami mencadangkan supaya berhijrah kepada pekerjaan lain atau menceburi perniagaan yang ada menerusi program di bawah kementerian," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata pengusaha berdepan risiko gulung tikar berikutan hanya memperoleh bayaran tambang untuk Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September.

Ini susulan penularan wabak COVID-19 dan masalah ini berlarutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditambah dengan isu sebahagian ibu bapa enggan membayar penuh tambang bulanan perkhidmatan itu.

Mengulas keluhan pengusaha bas sekolah yang terjejas teruk berikutan penutupan sekolah, Wan Junaidi berkata, Kementerian Pengangkutan disaran berhubung dengan MEDAC memandangkan pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai isu berkenaan.

"Saya tidak ada maklumat mengenai operator bas sekolah yang terjejas. Jika menterinya atau pihak yang berkaitan boleh memaklumkan (situasi dihadapi pengusaha bas sekolah), kami boleh fikirkan bentuk bantuan yang boleh diberikan," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Foto fail NSTP
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Foto fail NSTP

Pengusaha bas juga tergolong dalam kelompok usahawan, justeru bantuan bersesuaian bagi meringankan beban mereka boleh dipertimbangkan, kata Wan Junaidi.

Tumpuan MEDEC adalah membantu golongan usahawan dan pada masa sama, Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Pendidikan juga perlu tampil dengan program tertentu bagi membantu permasalahan dihadapi syarikat atau pengusaha bas sekolah.

Ini bukan sahaja berkait dengan masalah dihadapi usahawan (pengusaha bas sekolah) tetapi isu pengangkutan anak-anak yang mungkin turut terjejas jika ada operator bas ini menghentikan operasi.

Sebelum ini Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan proaktif dan berbincang dengan MEDAC mengenai isu pemberhentian kerja lebih 2,000 pekerja syarikat penerbangan Malindo Air.

"MEDAC ada berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, daripada situ kami merangka bantuan bersesuaian bagi membantu pekerja yang terjejas.

"Begitu juga mana-mana kementerian lain, boleh mengambil tindakan sama untuk membantu termasuk usahawan terjejas," katanya.

Berita Harian X