Rabu, 11 November 2020 | 1:36pm
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Tan Sri Ir Dr Zaini Ujang meninjau keadaan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan Indah Water di Taman Velox pada sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang, SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihenti tugas. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Tan Sri Ir Dr Zaini Ujang meninjau keadaan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan Indah Water di Taman Velox pada sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang, SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihenti tugas. - NSTP/Aswadi Alias

Suspek cemar Sungai Selangor, buang sisa berjadual ikut lubang tandas

PUTRAJAYA: Suspek kes pencemaran sumber air mentah sehingga menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas petang semalam, dipercayai melepaskan secara haram buangan berpigmen disyaki sisa terjadual melalui lubang tandas dan ruang pemeriksaan (inspection chamber) premis itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemui adalah sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan IWK dan LRA.

Katanya, sampel sudah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Satu operasi bersepadu yang membabitkan daripada JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, berjaya mengenal pasti punca pencemaran bau yang menyebabkan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, terpaksa dihenti tugas semalam.

"Tindakan pantas dan kerjasama yang erat antara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa kurang 24 jam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Air Selangor yang kesemua LRA sudah beroperasi semula mulai jam 2.40 pagi tadi, secara berperingkat selepas bacaan sifar TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, pengurusan buangan terjadual juga perlu diberi perhatian yang serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada.

Beliau berkata, buangan itu perlu dikitar semula atau dilupus di premis dilesenkan JAS sahaja kerana buangan terjadual yang mempunyai ciri-ciri berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah.

Justeru, katanya, pihak industri atau mana-mana individu dilarang sama sekali untuk melupuskan buangan terjadual secara haram.

Mengulas tindakan yang sudah diambil, Tuan Ibrahim berkata, premis terbabit sudah disita oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala empat suspek termasuk seorang penyewa premis itu ditahan pihak polis.

"Kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menjadi penyebab kepada pencemaran air sungai. Seseorang yang disabitkan kesalahan bawah Seksyen 25 (Sekatan Mengenai Pencemaran Perairan Daratan), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara maksimum selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Peruntukan mengikut Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, menetapkan seseorang yang menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa mendapat kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling, boleh dikenakan denda RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan tegas akan diambil bawah Seksyen 34B (Larangan terhadap penempatan, peletakan dan sebagainya bahan terjadual) dan pihak yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000," katanya.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan mengikut Seksyen 50(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), juga boleh dikenakan dan sekiranya disabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X