Selasa, 10 November 2020 | 9:52pm
 Joging antara aktiviti sukan yang dibenarkan di Sabah mulai esok. - Foto fail BERNAMA
Joging antara aktiviti sukan yang dibenarkan di Sabah mulai esok. - Foto fail BERNAMA

Sabah benarkan semula aktiviti keagamaan, sukan dan rekreasi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan semula aktiviti keagamaan, sukan dan rekreasi, selain melanjutkan aktiviti perniagaan sehingga jam 10 malam serta dibolehkan makan di restoran, bermula esok.

Ia antara kelonggaran diberikan kepada orang ramai dan peniaga menerusi prosedur operasi standard (SOP) baharu berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember depan.

Perubahan itu dimaklumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan media laporan perkembangan harian COVID-19 Sabah, malam ini.

"Bagi SOP PKPB Sabah yang dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020, beberapa kelonggaran syarat dan peraturan dibenarkan. Oleh itu, rakyat diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19," katanya.

Berdasarkan SOP sebelum ini, semua masjid, surau dan rumah ibadat lain diarah tutup, manakala tiada sebarang aktiviti sukan atau rekreasi dibenarkan.

Bagaimanapun, kelonggaran aktiviti ibadat tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala aktiviti sukan dan rekreasi dihadkan kepada yang tidak membabitkan sentuhan seperti joging, mendaki dan memancing dengan kehadiran maksimum 10 orang.

Masidi berkata, semua premis perniagaan termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka, pusat beli-belah dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam berbanding setakat jam 6 petang sebelum ini, kecuali pasar kekal beroperasi sehingga jam 2 petang.

Bagi sektor pengangkutan, katanya kerajaan masih mengekalkan larangan operasi bas ekspres.

Katanya, hanya operasi bas berhenti-henti dibenarkan semula dengan syarat hanya boleh membawa separuh daripada kapasiti bas selain kawasan operasi dalam daerah yang sama kerana masih tertakluk kepada larangan rentas daerah.

Majlis akad nikah dan upacara perkahwinan bagi bukan Islam turut dibenarkan, namun dengan kehadiran maksimum 20 orang.

Sementara itu, SOP baharu itu turut meneruskan larangan operasi kelab malam, aktiviti mesyuarat dan seminar, persidangan, majlis keramaian, aktiviti pelancongan, renang, perkelahan dan pertandingan sukan.

Semua institusi pendidikan di negeri ini juga tidak dibenarkan beroperasi termasuk taska, kecuali taska yang menempatkan anak petugas barisan hadapan.

Berita Harian X