Selasa, 10 November 2020 | 7:55pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat esok

RAWANG: Sehingga jam 6 petang tadi nilai kadar ambang di Loji Rawatan Air (LRA), Rantau Panjang mencatatkan penurunan kepada 4 TON berbanding 8 TON pada jam 2.30 petang tadi.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pula direkodkan masih mencatatkan nilai ambang 4 TON sama seperti jam 2.30 petang tadi.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata pihaknya menjangkakan masalah pencemaran air akan selesai pada tengah malam ini.

"Kami menjangkakan masalah pencemaran ini akan selesai tengah malam sebelum bekalan air dijangka pulih secara berperingkat esok pagi," katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah bermula 6 petang tadi berikutan pencemaran bau seakan-akan pelarut di Sungai Selangor yang diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran itu.

Menurutnya, sehingga jam 2.30 petang tadi pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 8 ton dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 4 ton.

Katanya, henti tugas keempat-empat loji itu dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup bermula 6 petang.

Berita Harian X