Selasa, 10 November 2020 | 7:47pm

Sisa industri dibuang ke lurang pembentungan punca pencemaran bau Sungai Selangor

RAWANG: Pembuangan sisa industri ke dalam lurang pembentungan di kawasan industri berhampiran loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, di sini dipercayai menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata tindakan itu menyebabkan berlaku pencemaran bau di loji rawatan kumbahan IWK.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada unsur sabotaj menyebabkan pencemaran berlaku di kawasan terbabit.

"Punca pencemaran bau ini dikenal pasti daripada pembuangan sisa industri berhampiran lurang pembentungan di IWK Rawang.

"Kami percaya pelepasan sisa industri itu dilakukan tanpa kebenaran di lurang pembentungan IWK yang terletak sejauh 12 kilometer dari LRA Rantau Panjang," katanya pada sidang media hari ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian meninjau loji rawatan kumbahan Indah Water di Taman Velox, Rawang. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian meninjau loji rawatan kumbahan Indah Water di Taman Velox, Rawang. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X