Selasa, 10 November 2020 | 6:20pm

78 PATI ditahan dalam operasi Benteng

KUALA LUMPUR: Operasi Benteng yang dijalankan seluruh negara semalam berjaya menahan 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata menerusi operasi itu sebanyak 337 Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"PDRM menjalankan 175 SJR, ATM pula 153 SJR dan AKSM sembilan SJR," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Sejak 1 Mei hingga 9 November lalu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 8,177 PATI, 783 tekong dan 340 penyeludup ditahan manakala 218 bot serta kapal termasuk 886 kenderaan darat dirampas.

Menerusi Operasi Benteng itu, katanya ia membabitkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan AKSEM.

Katanya, agensi berkenaan dipertanggungjawabkan untuk terus mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

Jika orang ramai mempunyai maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan, beliau meminta supaya terus menghubungi talian hotline Pasukan Petugas Kebangsaan di talian 011-6251 1223.

Mengenai perkembangan jumlah individu pulang ke tanah air Ismail Sabri, berkata sebanyak 64,374 individu berbuat demikian melalui pintu masuk sempadan antarabangsa antara 24 Julai sehingga 9 November lalu.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 9,977 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 66 hotel dan 21 premis lain.

Selain itu, beliau berkata mereka juga dikuarantin di Institut Latihan Awam (ILA) dan institutsi pengajian swasta di beberapa negeri.

"Individu berkenaan menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Sebanyak 385 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 54,012 individu dibenarkan pulang ke rumah.

"Semalam, seramai 516 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuannya dikuarantin wajib di stesen kuarantin di seluruh negara," katanya.

Operasi Benteng yang dijalankan seluruh negara semalam berjaya menahan 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong.-Foto NSTP/Ghazali Kori
Operasi Benteng yang dijalankan seluruh negara semalam berjaya menahan 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong.-Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X