Selasa, 10 November 2020 | 5:10pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Sabotaj disyaki punca pencemaran Sungai Selangor berulang hari ini

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor, hingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas tengah hari tadi angkara perbuatan sabotaj.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Katanya, lokasi yang dikesan adalah di Taman Velox, Rawang yang mana pihaknya mengesan terdapat bahan seakan minyak di dalam lurang IWK di kawasan itu.

"Untuk makluman juga, pemeriksaan yang dilakukan sekitar jam 2 hingga 7 pagi tadi oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati, bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah masih berada di tahap sifar TON.

"Justeru, pencemaran ini mungkin berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi dan kita mengesyaki ada sabotaj yang berlaku.

"Kerajaan negeri akan membuat laporan polis mengenai hal ini dan siapa yang di belakang (tindakan sabotaj)," katanya pada sesi penggulungan usul bajet peruntukan pembangunan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mencelah sesi penggulungan dan bertanya mengenai insiden pencemaran berkenaan yang berlaku 24 jam selepas Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020 diluluskan semalam.

Terdahulu, empat LRA iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.

Susulan itu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang ini.

Berita Harian X