Isnin, 9 November 2020 | 10:23pm
Anggota Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara Malaysia berkawal di laluan masuk ke Kompleks Penjara Kota Kinabalu yang itu dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.
Anggota Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara Malaysia berkawal di laluan masuk ke Kompleks Penjara Kota Kinabalu yang itu dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.

COVID-19: Patuhi SOP jika mahu kes terus turun

KOTA KINABALU: Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) baharu dibuka di Sabah, masing-masing di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tenom.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata PKRC baharu itu mula beroperasi hari ini.

"PKRC baharu di Kota Kinabalu terletak di Kompleks Penjara Kepayan (khas untuk banduan) yang mempunyai kapasiti 120 katil manakala di Tuaran terletak di Dewan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang boleh memuatkan 60 katil.

"Bagi Tenom, ia terletak di Dewan Masyarakat Tenom yang boleh memuatkan 48 katil," katanya dalam sidang media perkembangan semasa COVID-19 Negeri Sabah di sini, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berharap semua pihak bekerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jika mahu kes COVID-19 terus menurun di Sabah.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini, sebanyak 370 kes baharu positif COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif 20,792 kes.

Semalam, Sabah mencatat 524 kes berbanding 1,199 kes pada 6 November lalu.

"Walaupun jumlah kes di Sabah menurun hari ini, kita tidak boleh mengambil mudah. Jika mahu kes menurun, semua perlu bekerjasama dan patuh SOP," katanya

Tujuh kes kematian dicatatkan iaitu tiga di daerah Sandakan, dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tuaran dan Tawau.

Dua kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Numbak di Kota Kinabalu dengan lapan kes dan Kluster Nahaba di Kota Belud sebanyak 25 kes

Masidi berkata, cadangan untuk melonggarkan SOP ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara yang sedang dibincangkan.

"Kita masih dalam peringkat penelitian dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk statistik COVID-19 di negeri ini.

"Kita harap dalam dua atau tiga hari ini, kita akan umum jika ada keperluan kelonggaran SOP yang sedia ada," katanya.

.

Pada 6 November lalu, Masidi dilaporkan berkata, jika tempoh PKPB dilanjutkan, kerajaan negeri juga turut memperhalusi cadangan untuk melonggarkan SOP.

Katanya, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut mendengar pembentangan MKN Sabah berkenaan situasi semasa COVID-19 di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu berkuat kuasa esok sehingga 23 November ini, membabitkan 701 rumah dan 3,917 penduduk," katanya.

Berita Harian X