Ahad, 8 November 2020 | 3:06pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal pagar keselamatan sempadan Malaysia- Thailand dalam Op Benteng COVID-19 di Padang Besar, Perlis. - Foto NSTP/ Amran Hamid
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal pagar keselamatan sempadan Malaysia- Thailand dalam Op Benteng COVID-19 di Padang Besar, Perlis. - Foto NSTP/ Amran Hamid

6 PATI ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan semalam menerusi Op Benteng yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan keselamatan turut merampas tiga kenderaan darat melalui operasi sama.

"Operasi ini bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan mengekang penularan COVID-19.

"Sebanyak 298 sekatan jalan raya (SJR) melalui ops sama turut dilaksanakan semalam membabitkan pelbagai agensi iaitu 157 melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), 132 melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sembilan melalui Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan pendekatan Op Benteng diubah dengan tindakan mengusir PATI akan lebih diutamakan berbanding penahanan.

Selain ATM, PDRM dan AKSEM, Op Benteng turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan agensi lain.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X