Ahad, 8 November 2020 | 1:09pm

Bajet berhemah lindungi ekonomi, rakyat

Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion, mencerminkan komitmen jitu dan betapa serius kerajaan dalam membantu rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19. Persoalannya, sejauh mana insentif dan dana disediakan itu mampu merangsang perbelanjaan pengguna, menjana peluang kerja, memperkasakan 'senjata' dalam perang melawan virus berbahaya dan merangsang semula ekonomi negara.

Wartawan BH, Mahanum Abdul Aziz dan Hazwan Faisal Mohamad mendapatkan pandangan Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin serta Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar.

Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

Soalan (S). Adakah RM322.5 bilion cukup untuk kurangkan beban rakyat, merangsang ekonomi negara dalam mendepani impak COVID-19?

Jawapan (J). Ia memadai ketika ini dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus tahun depan dan defisit terkawal 5.4 peratus. Namun, kita perlu terima hakikat dalam keadaan norma baharu disebabkan COVID-19, kita sukar membuat ramalan tepat untuk masa depan. Keadaan boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa yang di luar jangkaan seperti jumlah jangkitan pandemik dan tindak balas kerajaan terhadapnya seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau bentuk PKP berbeza di kawasan tertentu, keadaan ekonomi dan perdagangan global dan kesan keputusan Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS). Jadi, sebagai kerajaan prihatin, bagi saya ketika ini Belanjawan 2021 pada dasarnya, dengan perbelanjaan yang tertinggi dalam sejarah mencukupi untuk merangsang ekonomi negara pada tahun depan dengan dijangka pemulihan berbentuk V. Sama ada ia mencukupi untuk mengurangkan beban rakyat pula adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan melalui LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) supaya ia (segala bantuan dan insentif) yang diberikan benar-benar sampai kepada pihak disasarkan. Ia juga bergantung sejauh mana kita dan dunia dapat membendung penularan COVID-19 pada masa depan. Namun, saya masih tidak pasti sama ada perbelanjaan besar ini dapat membantu menyelesaikan masalah struktur ekonomi, terutama apa yang dipanggil masalah perangkap pendapatan pertengahan atau 'middle income trap' dan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa depan.

S. Apakah gandaan ekonomi dapat diwujudkan daripada RM322.5 bilion itu?

J. Jika kita lihat peruntukan dalam Belanjawan 2021, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Jika dibandingkan dengan Belanjawan 2020, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan adalah RM56 bilion. Jadi, dari segi kesan pengganda, Belanjawan 2021 mempunyai kekuatan tersendiri. Contohnya, apabila kerajaan membantu rakyat menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), memang rakyat akan berbelanja untuk menampung keperluan harian, seterusnya merancakkan lagi ekonomi dengan peningkatan komponen kepenggunaan, terutama dalam perbelanjaan swasta. Ia sekali gus akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara yang akhirnya dapat meningkatkan pendapatan peniaga dan mengatasi masalah aliran tunai mereka, pekerja tidak dibuang dan mungkin pekerjaan boleh dicipta. Begitu juga apabila projek infrastruktur pengangkutan dilaksanakan seperti membiayai Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama, MRT3 di Lembah Klang dengan anggaran pembiayaan RM15 bilion, ia akan memberi kesan pengganda begitu besar kepada ekonomi. Bukan sahaja pekerjaan dapat dicipta, terutama pekerjaan berpendapatan tinggi, malah sistem pengangkutan berkesan serta cekap itu dapat mengurangkan kos perniagaan dan dapat meningkatkan nilai aset hartanah di sepanjang jajaran projek infrastruktur itu. Ia juga dapat menarik pelabur langsung asing ke Malaysia dan merangsang aktiviti perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

DR Irwan Shah.
DR Irwan Shah.

S. Sejauh mana insentif, peruntukan dalam Belanjawan 2021 mampu merangsang perbelanjaan pengguna dan menjana peluang pekerjaan?

J. Lebih 50 peratus daripada pertumbuhan ekonomi negara disumbangkan oleh perbelanjaan swasta. Jadi, memang fokus utama insentif dan peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk merangsang perbelanjaan pengguna, sejajar kesinambungan strategi yang diletakkan dalam empat pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan sebelum ini, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN). Selain itu, inisiatif baharu seperti pengurangan kadar cukai pendapatan pada satu mata peratusan agak ketara dalam meningkatkan perbelanjaan pengguna. Kelulusan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak maksimum RM6,000 dengan pengeluaran RM500 sebulan juga dapat menyokong perbelanjaan pengguna pada masa terdekat ini. Begitu juga moratorium. Walaupun lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik belum dibenarkan ketika ini, pilihan atau opsyen diberikan kepada golongan B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah) untuk meneruskan moratorium selama tiga bulan sedikit sebanyak dapat membantu juga. Selain itu, perbelanjaan pengguna daripada golongan M40 (golongan berpendapatan 40 peratus sederhana) dijangka bertambah baik dengan pelbagai insentif diperkenalkan seperti proses permohonan bayaran balik pinjaman yang akan dipermudahkan. Bagi menjana peluang kerja, banyak program diperkenalkan antaranya usaha kerajaan mempersiapsiagakan rakyat dalam perubahan dalam struktur ekonomi kesan COVID-19. Oleh itu, program seperti reskilling dan upskilling adalah elemen penting dalam peralihan kepada jenis pekerjaan baharu atau lama yang memerlukan pendekatan baharu. Ini dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia dan peluang kerja baharu juga dengan tersendirinya tercipta. Selain itu, program seperti MySTEP sangat baik, dijangkakan 50,000 peluang kerja akan dibuka dalam sektor awam dan 15,000 pula dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

S. Adakah sasaran pertumbuhan ekonomi 6.5 peratus hingga 7.5 peratus bagi 2021 mampu dicapai?

J. Jangkaan pertumbuhan ini juga dalam unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun hadapan yang dibuat badan antarabangsa lain juga seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Saya berpendapat ia dapat dicapai. Satu perkara lagi yang kita perlu faham adalah disebabkan oleh kesan asas yang rendah atau low base effect. Dengan ekonomi negara dijangka menguncup tahun ini antara tiga hingga lima peratus, pertumbuhan ekonomi tahun depan dijangka meningkat. Kadar 6.5 hingga 7.5 peratus ini juga disokong strategi yang diletakkan dalam Belanjawan 2021 seperti meneruskan projek infrastruktur berimpak tinggi, memacu pelaburan, menyokong perbelanjaan swasta dan merancakkan aktiviti perniagaan yang begitu terkesan akibat COVID-19. Inisiatif seperti Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta dan komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi dijangka jadi peneraju utama dalam pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.

S. Dengan perbelanjaan besar, adakah masih ada ruang untuk kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lain jika penularan COVID-19 semakin buruk?

J. Ya, kerajaan masih mempunyai ruang. Jika dilihat jangkaan kadar defisit fiskal negara bagi 2021, ia pada 5.4 peratus, justeru, ruang masih ada. Di samping itu, had statutori bagi nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini 60 peratus, juga boleh dinaikkan lagi, contohnya pada kadar 65 peratus. Jika satu peratus kenaikan dalam nisbah hutang kepada KDNK negara bersamaan RM15 bilion, kerajaan boleh tambah lagi hutang RM75 bilion. Itupun jika keadaan memerlukan pada masa hadapan. Ketika ini, nisbah hutang negara kepada KDNK masih bawah 60 peratus, masih terkawal. Pinjaman domestik masih boleh dilakukan yang ia lebih stabil dan berisiko rendah berbanding pinjaman dari luar.

S. Adakah insentif pelaburan dan pelaksanaan projek infrastruktur akan mengukuhkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini?

J. Ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini kerana strategi dan fokus diberikan Belanjawan 2021 juga agak mesra perniagaan. Ia ada elemen ekonomi mampan, lestari dan memberi tumpuan kepada UN SDG 2030. Ini amat digemari pelabur antarabangsa yang melihat model baharu ekonomi berdasarkan kelestarian pasca COVID-19. Namun, kerajaan juga perlu fokus kepada strategi dan dasar ekonomi berbentuk jangka sederhana dan panjang kerana ia meyakinkan pelabur untuk terus melabur di Malaysia. Contohnya dalam sektor pertanian. Dalam Belanjawan 2010, Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) dilancarkan. Sepatutnya Belanjawan kali ini, perlu ada Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang memberi hala tuju baharu kepada sektor ini. Begitu juga dengan sektor lain seperti dalam industri. Kita tahu Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) sudah tamat selepas bermula pada 2006 hingga 2020. Jadi, perlu ada pelan induk perindustrian baharu untuk meyakinkan pelabur mengenai perancangan dan hala tuju dasar industrialisasi negara pada masa depan.

MATA harap belanjawan dibahas secara rasional

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abd, Aziz Abu Bakar. - Foto Eizairi Shamsudin
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abd, Aziz Abu Bakar. - Foto Eizairi Shamsudin

Datuk Abd Aziz Abu Bakar

S. Apa pandangan Datuk terhadap Belanjawan 2021?

J. Banyak krisis ekonomi negara kita sudah tempuhi, tetapi krisis COVID-19 paling mencabar dan menduga. Kesan krisis ini bukan sahaja membabitkan isu sosial dan kesihatan, tetapi juga ekonomi, politik dan isu lain yang berkaitan. Belanjawan 2021 adalah belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN), disediakan dan dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang bukan berlatarbelakangkan politik walaupun cara pembentangannya seperti orang politik. Kami berharap Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat berbincang, berbahas dengan rasional dan seterusnya bersatu hati meluluskannya demi kepentingan rakyat selaras tema Belanjawan 2021, `Teguh Kita, Menang Bersama'. Teks ucapan belanjawan kali ini lebih mudah difahami kerana disusun rapi dan sistematik bermula daripada mukadimah, Strategi 6R, Tiga Matlamat Induk Belanjawan, strategi bagi mencapai setiap matlamat induk dan langkah yang perlu diambil dan dilaksanakan sehingga penutup ucapan Belanjawan 2021. Cuma pada pendapat kami, jika ditambah satu lagi matlamat induk, iaitu Menjamin dan Memastikan Ketahanan dan Kelangsungan Negara yang berkait rapat, khususnya dengan kedudukan kewangan negara, ia menjadi lebih lengkap. Secara keseluruhan, Belanjawan 2021 adalah belanjawan berhemah dan perlu digubal kerajaan bagi menyelamat, melindungi, memulih dan menjamin kesejahteraan rakyat dan masyarakat perniagaan walaupun kerajaan perlu berkorban dengan kedudukan fiskal dan kewangannya.

S. Tiada cukai langsung baharu yang diperkenalkan khusus untuk perniagaan dan syarikat? Apa pendapat Datuk?

J. Belanjawan kali ini lebih tertumpu usaha membantu rakyat. Walaupun tiada cukai langsung baharu diperkenal untuk meningkatkan hasil negara, masih ada dua cukai tidak langsung yang dinyatakan. Pertama, cukai rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai. Kedua, duti eksais ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik serta cecair rokok elektronik berkuat kuasa 1 Januari 2021. Cadangan ini dilihat lebih kepada mewujudkan kesamarataan dari segi layanan cukai ke atas semua jenis produk rokok dan tembakau termasuk vape.

S. Bagaimana kerajaan mahu menampung perbelanjaan negara pada 2021?

J. Berdasarkan Belanjawan 2021, pada tahun depan hasil negara adalah RM236.9 bilion dan perbelanjaan mengurus RM236.54 bilion, manakala baki semasa negara hanya RM360 juta. Ini adalah baki semasa terendah dalam sejarah negara. Apabila ditolak perbelanjaan pembangunan dan juga Kumpulan Wang COVID-19, negara kekurangan atau mengalami defisit RM85 bilion. Defisit ini jika dicampur dengan hutang negara setakat 2020 berjumlah RM874 bilion, anggaran jumlah hutang pada 2021 akan menjadi RM959 bilion. Jumlah hutang ini jika dibandingkan dengan KDNK kita pada 2021 sejumlah RM1.568 trilion adalah sebanyak 61 peratus. Pada Ogos lalu, Dewan Rakyat meluluskan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan, membenarkan had statutori hutang kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60 peratus daripada KDNK. Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menaikkan lagi had statutori hutang ini kepada 65 peratus daripada KDNK. Bagi menampung perbelanjaan negara untuk 2020 dan 2021, kerajaan perlu meningkatkan jumlah pinjaman. Perkara ini terpaksa dilakukan kerana hasil negara tidak cukup untuk menampung perbelanjaan negara. Kami amat berharap ketika pembentangan rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) atau sebelumnya, ada cadangan daripada kerajaan untuk meningkatkan hasil bagi menampung perbelanjaan negara kerana dalam jangka panjang, Malaysia tidak boleh bergantung kepada pinjaman untuk menampung perbelanjaan negara dan membantu rakyat.

S. Dalam pengumuman berkaitan cukai, yang mana menarik perhatian Datuk?

J. Kedua-dua pelepasan cukai pendapatan individu yang berkait dengan rawatan perubatan ditingkatkan. Peningkatan pelepasan cukai indivdu ini bagi membantu meringankan kos perbelanjaan perubatan yang ditanggung pembayar cukai kesan COVID-19. Pertama, had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa dinaikkan daripada sehingga RM5,000 kepada sehingga RM8,000. Kedua, had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius (termasuk perbelanjaan vaksinasi terhad kepada RM1,000) bagi pembayar cukai individu, pasangan dan anak serta rawatan kesuburan bagi pembayar cukai dan pasangan dinaikkan daripada sehingga RM6,000 kepada sehingga RM8,000. Setelah sekian lama tiada cadangan dan perubahan pada pelepasan cukai pendapatan individu yang membabitkan orang kelainan upaya (OKU), dalam Belanjawan 2021 ini, bagi membantu pembayar cukai individu yang mempunyai pasangan kurang upaya, had pelepasan cukai tambahan bagi pasangan kurang upaya dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM5,000.

S. Ia bermakna pembayar cukai boleh membuat simpanan yang lebih?

J. Simpanan untuk tujuan pendidikan anak adalah penting dan pelaburan untuk masa depan mereka. Dalam semua pelepasan cukai pendapatan yang ada sekarang, hampir semua adalah perbelanjaan yang dibuat pembayar cukai. Salah satu pelepasan cukai pendapatan individu yang ada dalam bentuk simpanan dan bukan bentuk perbelanjaan adalah simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang sepatutnya tamat pada 2020. Dalam Belanjawan 2021, pelepasan ini dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga tahun taksiran 2022. Bagi membantu pembayar cukai yang hilang pekerjaan disebabkan ekonomi terjejas susulan COVID-19, dicadangkan dalam Belanjawan 2021, had pengecualian cukai pendapatan bagi pampasan yang diterima daripada majikan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan. Kami ingin mencadangkan kepada kerajaan, bagi membantu pembayar cukai yang menerima pampasan akibat hilang pekerjaan disebabkan kesan COVID-19, keseluruhan pampasan yang diterima atas sebab itu diberi pengecualian cukai pendapatan.

S. Apa cadangan, harapan MATA terhadap Belanjawan 2021?

J. Kami berharap ia dapat dibahas secara rasional di Dewan Rakyat dengan matlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, ketahanan ekonomi dan juga kestabilan kedudukan fiskal dan kewangan negara. Kami juga berharap Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat membuat apa-apa pindaan yang perlu terhadap Belanjawan 2021 dan seterusnya meluluskannya demi kepentingan rakyat dan negara.

Berita Harian X