Sabtu, 7 November 2020 | 3:33pm
 Dari kiri Mejar Zulkhibri dan Kepten Mohd Izzudin mengambil Muhammad Emir dan Muhammad Haziq Azmin yang menjalani proses kuarantin dua minggu di hotel berhampiran Kamata-Haneda sebelum melapor diri di NDA Yokosuka.- Foto/Faiza Zainudin
Dari kiri Mejar Zulkhibri dan Kepten Mohd Izzudin mengambil Muhammad Emir dan Muhammad Haziq Azmin yang menjalani proses kuarantin dua minggu di hotel berhampiran Kamata-Haneda sebelum melapor diri di NDA Yokosuka.- Foto/Faiza Zainudin

Kadet ATM terpilih ke Akademi Pertahanan Nasional Jepun

TOKYO: Dua pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpilih bersama 22 pelajar antarabangsa lain mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Akademi Pertahanan Nasional (NDA) Jepun.

Pegawai kadet berkenaan Muhammad Haziq Azmin dan Muhammad Emir Ferhan Azmizan, masing-masing berusia 19 tahun, anak sulung dan berasal dari Johor, menamatkan pengajian peringkat asasi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sejak April lalu.

Ini adalah julung kali Malaysia kembali menghantar penyertaan kadet di NDA yang berpangkalan di Yokosuka, dekat sini, selepas hampir 27 tahun.

Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohd Izzudin Ahmad TLDM berkata penyertaan dalam program ini adalah antara inisiatif ATM untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala pertahanan antara kedua-dua negara.

Di samping mengikuti pengajian peringkat sarjana muda, beliau berkata pegawai kadet berkenaan akan turut mengikuti pengajian ketenteraan dengan tajaan dari Kementerian Pertahanan Jepun.

NDA adalah akademi pertahanan ulung di Jepun yang berfungsi sebagai institusi pendidikan bersama latihan bersepadu bagi melahirkan pegawai Angkatan Pertahanan Jepun (JSDF) dari perkhidmatan darat, laut dan udara.

"Diharap penyertaan pegawai kadet kita mampu melahirkan lebih ramai pegawai yang bakal mewarisi kepimpinan ATM di masa depan melalui pengalaman dan pengetahuan diperoleh di sini," katanya selepas mengiringi pegawai kadet Malaysia melapor diri di NDA Yokosuka, Khamis lalu.

Dari kanan, Muhammad Haziq dan Muhammad Emir Ferhan tiba untuk melapor diri dan disambut Koordinator Pelajar Antarabangsa, Institut Pengajian Lanjutan NDA, Nanako Wada (kiri, wanita) di NDA Yokosuka, dekat Tokyo, kelmarin.- Foto/Faiza Zainudin
Dari kanan, Muhammad Haziq dan Muhammad Emir Ferhan tiba untuk melapor diri dan disambut Koordinator Pelajar Antarabangsa, Institut Pengajian Lanjutan NDA, Nanako Wada (kiri, wanita) di NDA Yokosuka, dekat Tokyo, kelmarin.- Foto/Faiza Zainudin

Hadir sama, Penolong Atase Pertahanan, Mejar Zulkhibri Saleh, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mereka melapor diri untuk menyambung kursus bahasa Jepun yang bermula Julai lalu secara dalam talian di tanah air berikutan pandemik COVID-19 sebelum meneruskan program ijazah sarjana muda selama empat tahun bermula April depan dan dijangka tamat pengajian pada Mac 2025.

Muhammad Haziq yang menyertai perkhidmatan pegawai kadet darat tidak menyangka berjaya melanjutkan pengajian di akademi melahirkan pegawai JSDF dianggap sebagai angkatan kelima terkuat di dunia bagi keupayaan konvensional.

"Minat menyertai ATM timbul selepas menonton filem aksi ketenteraan PASKAL The Movie, justeru mendorong saya memilih UPNM sebagai universiti pilihan pertama dalam permohonan Unit Pusat Universiti selepas mencatat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya bersyukur bukan saja dapat melanjutkan pengajian di UPNM malah diterima menyambung pengajian di NDA Jepun yang berprestij bersama pelajar antarabangsa lain dari pelbagai negara termasuk ASEAN," kata anak juruteknik Tenaga Nasional Berhad.

Bagi Muhammad Emir Ferhan, hasrat beliau untuk meringankan beban keluarga selain berminat menjadi juruterbang pesawat pejuang mendorongnya untuk melanjutkan pengajian di UPNM serta menyertai perkhidmatan pegawai kadet udara.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga saya serta ATM, pensyarah dan rakan banyak membantu sehingga kami dapat melanjutkan pengajian di sini," katanya.

Berita Harian X