Jumaat, 6 November 2020 | 5:36pm

Belanjawan 2021: RM20 juta untuk Jabatan Penjara Malaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menerima peruntukan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Insan untuk banduan.

Inti pati program berkenaan untuk memberikan kemahiran vokasional kepada banduan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata melalui program berkenaan sebelum ini, banduan menghasilkan pelbagai jenis produk di bawah MyPRIDE dan Tenun Pahang Diraja.

"Kain samping yang saya kenakan pada hari ini juga tenunan Pahang Diraja yang dihasilkan oleh penghuni Penjara Penor, Pahang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji bekas banduan dan bekas penagih dadah.

"Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat, potongan cukai tambahan akan diberikan.

"Potongan cukai tambahan ini diberikan kepada majikan yang menggaji golongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025," katanya.

Anggota Keselamatan mengawal pintu utama Penjara Sg Buloh, hari ini. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Anggota Keselamatan mengawal pintu utama Penjara Sg Buloh, hari ini. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Berita Harian X