Jumaat, 6 November 2020 | 5:20pm

Belanjawan 2021: 98 peratus permohonan lanjut moratorium lulus

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan menerima lebih 650,000 permohonan melanjutkan moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman yang lain, dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata permohonan itu diterima apabila kerajaan beralih ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober lalu, selepas melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik antara April hingga September lalu.

Katanya, institusi perbankan menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran sejak inisiatif Bantuan Pembayaran Bersasar diumumkan kerajaan.

"Kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman dan terkesan COVID-19.

"Bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak COVID-19.

"Pada masa sama, bank melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Berita Harian X