Jumaat, 6 November 2020 | 5:14pm

Belanjawan 2021: Peminjam B40, perusahaan mikro boleh tangguh bayar pinjaman

KUALA LUMPUR: Peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata itu adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, bantuan itu juga akan memanfaatkan kumpulan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

"Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan. Pilihan pertama, menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan, atau pilihan kedua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan dan menyempurnakan dokumentasi.

Selain itu, katanya, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman bagi peminjam daripada golongan M40 akan dipermudahkan.

"Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau 'self-declaration' pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.

"Fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020," katanya.

Orang ramai mengemaskini dan membuat permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). - NSTP/Hazreen Mohamad
Orang ramai mengemaskini dan membuat permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). - NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X